Baru-baru ini, tular isu bahawa akupuntur merupakan satu rawatan yang kebarangkalian menggunakan sihir. Jadi, mohon pencerahan berkenaan isu ini.
Jawapan: Akupunktur merupakan salah satu kaedah rawatan tradisional Cina yang semakin diterima di seluruh dunia termasuk dalam masyarakat Islam.
Akupunktur merupakan satu kaedah rawatan tradisional yang berasal dari China, dan telah mengalami peningkatan penerimaan di seluruh dunia.
Perubatan ini semakin mendapat perhatian dan telah menimbulkan persoalan mengenai kesesuaiannya dengan prinsip syariah Islam. Adalah menjadi kewajipan bahawa amalan perubatan tersebut selaras dengan syarak dan maqasid Islam agar ia dibenarkan oleh syarak?
Akupunktur melibatkan teknik mencucuk dan memanipulasi jarum filiform yang halus pada titik-titik tertentu pada bahagian badan (titik akupuntur) untuk mengurangkan kesakitan dan ia juga dikenali sebagai meridian.
Menurut Tuan Haji Mahadizan Hamzah, terdapat lebih kurang 360 titik utama dalam proses melakukan akupuntur. Menurut beliau, rawatan standard akupuntur tidak melibatkan sebarang bacaan sama ada jampi atau mantera.
Menurut teori perubatan Cina, meridian ini adalah saluran tenaga (qi) yang mengalir dalam tubuh. Apabila aliran qi terganggu, ia boleh menyebabkan penyakit. Dengan menstimulasi titik-titik ini, penggunaan akupunktur bertujuan mengembalikan keseimbangan aliran qi dan seterusnya memulihkan kesihatan.
Dari sudut pandang saintifik moden, akupunktur dipercayai merangsang sistem saraf, menyebabkan pembebasan endorfin (penghilang sakit pada badan), dan mempengaruhi fungsi hormon serta imun. Di Malaysia, perkembangan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) telah melalui proses pembangunan yang sistematik dan berlandaskan dasar kebangsaan sejak tahun 2001.
Dasar PT&K yang disemak semula pada tahun 2007 telah menjadi tonggak utama dalam merangka hala tuju dan pelaksanaan perkhidmatan ini di peringkat nasional.
Penubuhan Bahagian PT&K (BPTK) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2004, dan mendapat pengiktirafan Jemaah Menteri pada tahun 2006 terhadap hospital integrasi menunjukkan komitmen kerajaan untuk menggabungkan PT&K ke dalam sistem kesihatan arus perdana.
Dalam konteks Islam, sesuatu amalan perubatan perlu memenuhi beberapa kriteria syarak agar ia diharuskan. Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah SWT menurunkan penyakit dan ubatnya. Dia menjadikan bagi setiap penyakit itu ubat. Oleh itu, berubatlah kamu dan jangan sesekali kamu berubat dengan benda yang haram.” (Riwayat Abu Daud)
Asasnya, sesuatu perkara (yang tidak melibatkan ibadah khusus) adalah harus selagi tiada dalil yang mengharamkannya. Hal ini sebagaimana kaedah perubatan akupunktur.
secara asalnya adalah diharuskan selagi tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Bahkan, secara teknikalnya telah terbukti keberkesanan kaedah ini.
Menurut kaedah fiqh, sesuatu perkara yang melibatkan urusan duniawi adalah berdasarkan keberkesanan dalam uji kaji sebagaimana kaedah fiqh seperti berikut:
“Kebaikan dan kerosakan yang melibatkan urusan duniawi hanya akan diketahui daripada tajarrub (pengalaman, eksperimen) dan adat.”
Keharusan suatu amalan perubatan ditentukan oleh beberapa aspek utama seperti, sumber rawatan mestilah bersih (halal) dan tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan, seperti alkohol atau bahan-bahan yang berasal daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak.
Kedua, kaedah rawatan itu sendiri tidak boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar daripada manfaatnya, selaras dengan kaedah ‘tidak boleh memudaratkan diri sendiri atau orang lain’.
Ketiga, rawatan tersebut tidak boleh melibatkan unsur syirik atau kepercayaan kepada kuasa selain Allah, seperti penggunaan tangkal atau jampi yang bercanggah dengan akidah.
Keempat, niat di sebalik rawatan mestilah untuk mencari kesembuhan daripada Allah SWT dan bukan bergantung sepenuhnya dengan rawatan semata-mata.Ini berdasarkan kaedah fiqh yang masyhur: “Setiap perkara bergantung kepada niatnya.”
Kelima, pengendali akupuntur mestilah individu yang mahir dalam ilmu tersebut serta mendapatkan pengesahan daripada pihak berautiriti.
Al-Muzhiri menjelaskan, “sesiapa yang memulakan pembelajaran dalam ilmu perubatan tetapi belum diiktiraf sebagai pakar dalam bidangnya, maka apabila dia merawat seorang pesakit maka dia bertanggungjawab (atas sebarang kesan atau mudarat).”
Imam al-Munawi menyebut, seseorang yang menjalankan rawatan tanpa kelayakan dalam bidang perubatan bertanggungjawab membayar pampasan (diyat) sekiranya berlaku kematian akibat tindakannya.
Namun, jika rawatan diberikan oleh seorang yang berkelayakan dan berusaha secara profesional, maka dia tidak dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kematian.
Kesimpulannya, akupunktur adalah kaedah rawatan yang harus dalam Islam selagi mana ia bertepatan dengan hukum syarak iaitu tidak mengandungi unsur-unsur haram, tidak melibatkan amalan syirik dan dilakukan dengan cara menjaga kemaslahatan serta kesucian.
Penerimaan akupunktur dalam kalangan Muslim membuktikan bahawa Islam bersifat fleksibel dan menggalakkan umatnya mencari kesembuhan melalui pelbagai cara yang dibenarkan.














