Jais

RUU Kebebasan Maklumat mesti jamin hak rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 perlu menjamin hak rakyat mendapatkan maklumat kerajaan dan bukan sekadar mewujudkan prosedur pentadbiran yang masih dibelenggu budaya kerahsiaan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, penilaian antarabangsa yang memberikan RUU berkenaan hanya 47 daripada 150 markah amat membimbangkan.

“Jika dibiarkan dalam bentuk semasa, Malaysia berisiko mempunyai antara undang-undang kebebasan maklumat yang paling lemah di dunia.

“Keadaan ini tidak sepadan dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh reformasi institusi, ketelusan dan tatakelola,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Fasal 22 yang menafikan kebebasan maklumat sebagai sebahagian daripada kebebasan asasi perlu digugurkan atau dipinda secara menyeluruh.

Katanya, pengecualian terlalu luas, ketiadaan ujian kemudaratan serta tiadanya perlindungan kepentingan awam yang berkesan berpotensi menjadikan undang-undang itu tidak berkesan.

“Lebih membimbangkan, kedudukan Akta Rahsia Rasmi 1972 masih membolehkan terlalu banyak dokumen kerajaan dilindungi daripada penelitian awam.

“Ini termasuk maklumat berkaitan perolehan, pemberian kontrak, konsesi, perbelanjaan awam, laporan audit dan keputusan yang melibatkan kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan yang bersih tidak seharusnya takut kepada ketelusan kerana maklumat awam bukan milik eksklusif pentadbiran, sebaliknya amanah yang dipegang bagi pihak rakyat.

Jais berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu menjalankan penelitian secara terbuka dan dwipartisan dengan melibatkan masyarakat sivil, media, ahli akademik serta badan profesional. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN