PETALING JAYA – “Depan mata aku jadi! Memang menggigil.”
Demikian luahan seorang saksi yang mendakwa melihat detik sebuah lori Jabatan Imigresen (JIM) merempuh tiga beranak sehingga maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di ibu negara awal pagi tadi.
Saksi yang menggunakan akaun @zakwan_hasni di Threads berkata, kejadian itu berlaku di depan matanya selepas lori berkenaan hampir merempuh kenderaan dinaikinya sebelum terbabas dan merempuh beberapa mangsa lain.
“Depan mata aku jadi! Lori imigresen hampir langgar kereta grab (e-hailing) aku naik dari belakang mujur pemandu sempat elak, kemudian lori tu langgar kereta depan dan terbabas masuk ke jalan sebelah, terus langgar motosikal yang di depan.
“Dia macam terus (lori imigresen) ‘lenyet’ orang depan muka aku!,” katanya menerusi perkongsian tersebut.
Seorang lagi pengguna Threads, @tsyaaa.aaa yang mendakwa turut berada di lokasi kejadian dan mengakui masih terkejut dengan kejadian berlaku.
“Saya la orang yang ada dekat tempat kejadian, sumpah menggigil ye satu badan. Al-Fatihah buat mangsa terlibat,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi tadi, lori Isuzu Black Maria milik JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dipercayai berlanggar dengan sebuah Proton Saga sebelum hilang kawalan dan terbabas.
Lori terbabit kemudian merempuh empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah Inokom Matrix yang sedang berhenti di persimpangan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, tiga daripada empat pejalan kaki meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 tahun dan 12 tahun.
Seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 55 tahun yang juga isteri kepada lelaki berkenaan dan ibu kepada dua mangsa perempuan mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki dan dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki Melayu berusia 43 tahun tanpa membawa penumpang dan sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Lori tersebut dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu beacon dan siren diaktifkan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilapor berkata, JIM menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kejadian kepada pihak polis dan akan memberikan kerjasama penuh.
“Kes dalam siasatan pihak polis. JIM akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam melakukan siasatan ini.
“JIM juga akan menjalankan siasatan dalaman berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE














