PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO menegaskan tindakan segelintir pihak memainkan sentimen bangsa dalam isu Tabung Haji (TH) adalah sesuatu yang tidak wajar.
Menurut Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh, perbuatan ‘mencuri’ dalam agensi berkenaan bukan melibatkan bangsa, tetapi individu.
“Kesalahan dalam TH, jika yang mencuri itu Melayu hendak salahkan bangsa Melayu itu tidak adil.
“(Ini) Kerana jangan lupa, isu korporat mafia, isu terowong juga ada bangsa lain yang dituduh terlibat. Adakah kita nak salahkan bangsa mereka?,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sebaliknya, Muhammad Akmal berkata, setiap bangsa mempunyai ‘perangai’ mencuri, tetapi kita tidak boleh menuding jari terhadap bangsa tersebut.
“Ada Melayu yang mencuri, ada Cina yang mencuri, ada India yang mencuri. Dalam setiap bangsa, ada yang baik dan ada yang melakukan kesalahan.
“Jadi jangan kerana kesalahan beberapa individu, satu bangsa pula dihina dan direndahkan,”ujarnya.
Jelas beliau, sebagai pihak yang mempunyai kuasa dan mentadbir, kerajaan seharusnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
“Kalau ada yang mencuri, tangkap, siasat, dakwa. Bawa ke mahkamah. Biar undang-undang tentukan siapa bersalah lebih-lebih lagi kalau kamu berada dalam kerajaan.
“Kamu ada kuasa, ada agensi, ada undang-undang. Gunakanlah. Jangan jadi kerajaan, tetapi masih bercakap macam pembangkang, pandai menuding jari, tetapi gagal ambil tindakan,” katanya.
Tambah beliau, jangan kerana pelaku itu adalah Melayu, maka ada pihak yang mengambil kesempatan menghina bangsa tersebut secara keseluruhannya, namun jika sebaliknya ada yang diam menikus.
“Penjenayah ada bangsa, tetapi jenayah tidak mengenal bangsa,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE
















