Sui Hau (kiri) bertemu keluarga dua kanak-kanak yang menghidap SMA di pejabat One Hope di Bukit Mertajam, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

Dua kanak-kanak hidap penyakit jarang jumpa perlu dana RM1.04 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Dua kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit genetik jarang berlaku, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 2 memerlukan dana berjumlah RM1.04 juta bagi membolehkan mereka menjalani rawatan terapi gen di Jakarta, Indonesia pada 24 Ogos ini.

Muhammad Hadeef Fayyadh Mohd. Farhan, 2, dari Kuala Nerus, Terengganu dan Muhammad Iman Hafiz Muhammad Syafiq, 5, dari Taiping, Perak masing-masing memerlukan RM520,000 untuk menjalani rawatan berkenaan.

Bapa Muhammad Iman, Muhammad Syafiq Muhammad Sharipuddin, 35, berkata, pergerakan anak sulungnya amat terbatas dan memerlukan bangku untuk sokongan sewaktu berdiri.

“Pada mulanya, doktor anggap keadaan itu sebagai kelewatan perkembangan motor kasar (Gross Motor Delay). Dia kemudiannya menjalani terapi fizikal dan terapi cara kerja. Bagaimanapun tahun lalu, dia menjalani ujian genetik sebelum disahkan menghidap penyakit tersebut.

“Saya dan isteri (Nurin Syazleen Atiqa Mohd Supian) menjual kuih-muih, namun kos rawatan yang tinggi menyukarkan kami untuk mengumpul wang dalam masa singkat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, bapa Muhammad Hadeef, Mohd Farhan Azis, 35, berkata, perubahan keadaan fizikal anak tunggalnya mula disedari tahun lalu apabila kedua-dua kaki kanak-kanak tersebut semakin hilang kekuatan.

Katanya, sebelum itu Muhammad Hadeef membesar secara normal dan sudah mula merangkak, berdiri selain gemar memanjat.

“Ketika mandi, Hadeef tidak lagi mampu berdiri dan kadang kala terduduk selain tidak lagi mampu memanjat kerusi seperti sebelum ini,” katanya penyelia pasar raya itu.

Dalam pada itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya menyumbang sebanyak RM100,000 sebagai permulaan dan mengharapkan ihsan rakyat Malaysia untuk membantu menampung dana yang diperlukan.

Orang ramai boleh menyumbang menerusi akaun Public Bank Berhad bernombor 3201428817 atas nama One Hope Charity & Welfare atau laman web onehopecharity.org. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN