PETALING JAYA – Malaysia mempunyai 6,925 ahli kimia berdaftar setakat Julai lalu, dengan jumlah lulusan bidang kimia yang dihasilkan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan disifatkan mencukupi dari segi kuantitatif.
Yang Dipertua Institut Kimia Malaysia (IKM), Datuk Dr. Soon Ting Kueh berkata, dari segi bekalan tenaga kerja, jumlah lulusan bidang kimia yang dihasilkan IPT tempatan adalah mencukupi dan IKM setakat ini tidak menerima maklumat mengenai kekurangan tenaga ahli kimia di negara ini.
“Namun, peluang perjawatan khususnya di Jabatan Kimia Malaysia tertakluk perancangan jabatan itu serta kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Justeru IKM berpandangan skim perjawatan ahli kimia dalam perkhidmatan awam perlu dikaji semula bagi menampung beban ujian, penguatkuasaan dan kerja-kerja forensik yang makin kompleks,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau mengulas laporan khas Kosmo! pada 21 Julai lalu yang mendedahkan hanya 476 kakitangan Jabatan Kimia di seluruh negara mengendalikan lebih sejuta sampel sepanjang tahun lalu, selain beban kes meningkat sebanyak 116 peratus sejak 2014.
Ia termasuklah kes berkaitan narkotik, selain keperluan menambah tenaga kerja, peralatan moden dan automasi bagi mempercepatkan proses analisis.
Ting Kueh berkata, pendaftaran ahli kimia baharu secara keseluruhannya menunjukkan trend peningkatan didorong kesedaran terhadap pematuhan Akta Ahli Kimia 1975 dalam sektor awam dan swasta terutama dalam kalangan graduan baharu serta profesional makmal.
“Rekod IKM menunjukkan seramai 262 ahli kimia baharu didaftarkan pada 2021 sebelum meningkat kepada 527 (2022), 345 (2023), 389 (2024) dan 332 orang tahun lalu.
“Antara sektor yang mempunyai permintaan tertinggi terhadap perkhidmatan dan kepakaran ahli kimia ketika ini ialah makmal pengujian dan kalibrasi komersial, sektor farmaseutikal serta barangan pengguna.
“Permintaan turut melibatkan industri minyak sawit, oleokimia, petrokimia dan getah selain pembangunan tenaga boleh baharu serta teknologi hijau,” ujarnya.
Katanya, selain perluasan perjawatan sektor awam, IKM turut mencadangkan kolaborasi antara IPT dan industri dipertingkatkan dengan kurikulum universiti diperkemas supaya sejajar dengan standard serta teknologi terkini.
“Selain itu, latihan kemahiran berterusan dalam analisis termaju, keselamatan makmal dan pengurusan kualiti juga perlu diperkukuhkan.
“Langkah lain juga memastikan Akta Ahli Kimia 1975 dikuatkuasakan bagi menjamin analisis kimia dikendalikan serta disahkan oleh ahli kimia yang sah dan berdaftar,” tambahnya.














