fbpx
SYAFIQ (tengah) dituduh melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini.

Buruh binaan tidak mengaku amang seksual remaja perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Seorang buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, bulan lalu.

Tertuduh, Syafiq Dzulkafli, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 17 tahun 11 bulan di sebuah bilik hotel di Jalan Jubli Perak, di sini kira-kira pukul 4 pagi, 19 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh, namun peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu serta perlu menanggung ibu serta adik perempuan orang kurang upaya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM9,000 dan dia membayar jumlah jaminan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan ditegah mendekati serta mengganggu mangsa sehingga kes selesai. Mahkamah kemudian menetapkan 7 September depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN