fbpx
SHAMSUL Azrin menunjukkan bahagian muka anaknya yang lebam didakwa akibat dipukul pelajar senior di sebuah maahad tahfiz di Alor Setar.

‘Anak saya ditumbuk, kepala ditekan pada tangga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Sepasang suami isteri kesal apabila anak lelaki mereka yang berusia sembilan tahun didakwa menjadi mangsa buli pelajar senior berusia 15 tahun sehingga lebam pada muka dan beberapa bahagian badan.

Bapa mangsa, Shamsul Azrin Man, 45, berkata, kejadian itu hanya diketahui selepas dia mengambil anak tunggalnya pulang bercuti dari sebuah maahad tahfiz di sini pada 30 Julai lalu.

Katanya, anaknya tinggal di asrama maahad tahfiz itu sejak awal tahun ini.

“Saya dan isteri ternampak lebam pada muka anak. Pada awalnya dia beritahu terjatuh, tetapi selepas ditanya berkali-kali, anak mengaku dia ditumbuk pelajar senior sehari sebelumnya ketika mengelap meja makan di kantin.

“Anak saya memaklumkan dia ditendang di bahagian belakang sehingga lebam. Sebaik mengetahui kejadian itu, saya segera menghubungi seorang ustaz, namun dia  memaklumkan tidak mengetahui kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Shamsul Azrin berkata, dia dan isterinya membuat laporan polis pada hari sama sebelum membawa anak mereka ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati anak saya mengalami lebam, namun tiada kecederaan serius seperti patah tulang. Cuma, dia trauma dan tidak mahu lagi bersekolah di maahad tersebut.

“Saya berasa sedih memandangkan sebelum ini dia sendiri yang meminta untuk menuntut di maahad tahfiz kerana mahu menjadi ustaz.

“Tidak sangka jadi begini pula, namun saya bersyukur kerana anak masih bersemangat untuk bergelar seorang ustaz,” katanya yang akan menukar anaknya ke sekolah agama lain.

Dakwa lelaki itu, sebelum ini dia pernah melihat kesan lebam pada badan selain benjol pada kepala anaknya, namun tidak menyangka kanak-kanak tersebut dibuli kerana anaknya memaklumkan terjatuh.

“Selepas ditanya, anak beritahu dia pernah ditumbuk, disepak, manakala kepalanya ditekan pada tangga oleh pelajar terbabit. Dia tidak melawan kerana takut. Dia beritahu, ada rakan yang bantu tuamkan dahinya yang benjol,” dakwanya.

SHAMSUL Azrin menunjukkan bahagian muka anaknya yang lebam didakwa akibat dipukul pelajar senior di sebuah maahad tahfiz di Alor Setar.

Katanya, dia dan isterinya berasa kesal kerana anak mereka kini tidak lagi bersekolah selepas pihak sekolah didakwa memberhentikan anaknya susulan kejadian itu dengan memberi alasan tidak mahu perkara sama berulang.

“Kita difahamkan, polis menyiasat perkara ini dan pelaku telah dipanggil untuk siasatan. Pihak sekolah turut mengambil tindakan menggantung pelaku,” ujarnya.

Lelaki itu berharap kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian.

“Saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada anak-anak lain. Cukuplah anak saya yang melalui pengalaman ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Polis telah merakam keterangan pelaku. Kami masih menunggu laporan perubatan mangsa daripada doktor,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN