KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang wanita warga China disyaki terlibat dalam kegiatan pemerasan apabila mengugut untuk menyebarkan gambar intim bagi mendapatkan wang daripada mangsa dalam kejadian di Cheras, Jun lalu.
Sumber berkata, kejadian itu berlaku selepas pengadu menerima maklumat daripada pekerjanya berhubung mesej ugutan yang dikirim suspek.
Katanya, pengadu dimaklumkan oleh pekerjanya ketika berada di China bahawa suspek mengancam akan menyebarkan gambar intim membabitkan individu berkaitan sekiranya gagal permintaan wang gagal dipenuhi.
“Suspek mengugut untuk menyebarkan gambar intim sekiranya permintaan tidak dipenuhi. Bagaimanapun, pengadu tidak menyerahkan wang, sebaliknya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 4.45 petang, 8 Julai lalu.
Beliau berkata, seorang wanita China disyaki terlibat dalam kes itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
Wanita itu direman sehingga 28 Julai dan kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE
















