JIKA anda merasakan semakin ramai mula bermain padel ketika ini, tanggapan itu sememangnya tepat.
Kejohanan sulung CIMB Padel Open yang melabuhkan tirainya baru-baru ini berjaya menghimpunkan seramai 244 pemain dari 24 negara, sekali gus muncul antara kejohanan padel terbesar dan paling inklusif dianjurkan di Malaysia tahun ini.
Lebih menarik, kejohanan tersebut menandakan penglibatan pertama CIMB dalam sukan padel, pada ketika populariti sukan itu sedang melonjak naik di seluruh dunia.
Tumpuan utama kejohanan pastinya terarah kepada aksi final kategori Pro lelaki yang menyaksikan pemain nombor satu negara merangkap CIMB Padel Partner, Aidan Yunus, bergandingan dengan Christian Didier menentang pasangan profesional dari Sepanyol, Pol Alsina dan Ferran Gonzalez.
Pertarungan sengit yang dipamerkan kedua-dua pasangan itu membuktikan bahawa tahap persaingan padel di Malaysia kini semakin menghampiri standard antarabangsa.
Pasangan dari Sepanyol tersebut akhirnya muncul juara kategori Pro lelaki dan turut memuji tahap permainan, kualiti penganjuran serta semangat komuniti padel tempatan yang disifatkan mereka sebagai mesra dan penuh bertenaga.

Menurut Aidan, sejak beralih daripada sukan skuasy kepada padel dua tahun lalu, sukan itu telah memberikannya rasa kebersamaan dan tujuan yang lebih jelas.
“Sokongan daripada jenama seperti CIMB membantu meningkatkan profil sukan ini, menggalakkan lebih ramai orang untuk menyertainya dan mempercepatkan pertumbuhan padel di Malaysia,” katanya.
Kejohanan itu dibuka kepada semua peringkat kemahiran menerusi empat kategori iaitu Beginner, Intermediate, Upper Intermediate dan Pro bagi kategori lelaki dan wanita.
Peserta yang mengambil bahagian pula terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bermula daripada belasan tahun hingga lingkungan usia 50-an, dengan hampir 78 peratus daripadanya merupakan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, CIMB menerusi sokongannya terhadap platform seperti CIMB Padel Open serta inisiatif memperluaskan akses kepada sukan tersebut, termasuk penambahan masa penggunaan gelanggang percuma untuk pelanggan CIMB Preferred, terus menggerakkan aspirasi jenamanya, Moving You Forward.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Berhad, Gurdip Singh Sidhu berkata, sambutan yang diterima bagi penglibatan sulung CIMB dalam sukan padel amat menggalakkan.
“Padel merupakan sukan yang sedang berkembang pesat dan penganjuran kejohanan ini mencerminkan momentum pertumbuhannya yang semakin kukuh.
“Kami teruja untuk melihat sukan ini berkembang ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.
Kejohanan tersebut dianjurkan bersama ASCARO, antara perintis pembangunan padel di Malaysia, sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik bagi memperkukuh dan mengembangkan ekosistem padel tempatan. – KOSMO! ONLINE














