DI sebalik pesona jenaka dan telatah bersahaja yang sering mencuit hati, pelawak Saiful Apek sebenarnya menahan berat kerinduan terhadap para sahabat seperjuangan yang terlebih dahulu dijemput Ilahi.
Kehilangan permata-permata berharga dalam industri komedi tanah air ternyata meninggalkan impak emosi yang cukup besar buat Apek, apatah lagi selepas pernah berkongsi banyak pahit manis, jerih perih dan zaman kegemilangan bersama-sama.
Pemilik nama lengkap Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff mengakui fasa kehilangan tersebut bukan satu perkara mudah yang dilalui, malah sering kali dia gagal menahan emosi setiap kali memori lama melintas depan mata, terutama saat menyelak ruang media sosial.
Lebih pahit, Apek sendiri tidak mampu menonton kembali karya lama bersama beberapa rakan selebriti yang sudah pergi.
“Saya rasa ramai sebenarnya, bukan sahaja otai atau senior-senior saya, malah sahabat dan rakan seperjuangan pun sebenarnya ramai sudah tiada.
“Jujur, memang saya sangat merindui mereka. Sebenarnya kalau hendak tengok semula cerita-cerita (filem) bersama mereka, saya rasa tidak kuat.
“Hendak tengok cerita throwback pun saya memang tak kuat tetapi bagaimana saya hendak lari daripada media sosial?
“Bila saya melayarinya, saya akan berhenti dan terperangkap melihat momen-momen itu. Tak tahu hendak cakap macam mana, tetapi saya memang tersentuh,” bicaranya perlahan berbaur syahdu.

BIARPUN bukan orang Utara, Saiful Apek sentiasa bersemangat setiap kali
menerima tawaran watak menggunakan dialek Utara.
Tak ratapi kehilangan
Sayu hati, pelawak berusia 57 tahun itu bagaimanapun tidak terus-terusan meratapi kesedihan sebaliknya menjadikan setiap pesanan yang pernah ditinggalkan arwah sahabat sebagai ‘azimat’ untuk terus melangkah ke hadapan.
“Saya rasa sukar untuk jelaskan sebab mungkin apabila kita sudah terlalu rapat dengan seseorang, sukar untuk melepaskan perkara itu.
“Tetapi apabila saya teringat kembali kata-kata yang mereka tinggalkan kepada saya, ‘Andai kata bos, satu hari nanti kita tidak bersama lagi, saya akan tetap bersama bos’ ataupun ‘tetap bersama dengan kekandaku’.
“Ungkapan itu sebenarnya menjadi pembakar semangat saya,” jelasnya.
Tidak menafikan pernah berdepan fasa sukar, anggota kumpulan Senario itu bangkit semula demi menghormati perjuangan rakan-rakan yang telah tiada.
“Sudah tentu dalam kerjaya, kita akan melalui titik rendah yang membuatkan kita rasa seperti mahu mengalah.
“Tetapi apabila tengok kembali perkara-perkara yang pernah kita sama-sama lalui dan kejayaan yang pernah kita raih, saya rasa saya tidak boleh berhenti.
“Saya tidak akan berhenti di sini, saya rasa harapan mereka yang sudah pergi pun adalah supaya saya teruskan perjuangan ini,” katanya yang kini sibuk mempersiapkan emosi demi sebuah filem baharu berjudul The Real Mamu.

The Real Mamu
Bakal menjalani penggambaran bermula 25 Jun nanti, naskhah arahan Zulkifli Abu Hassan bersama Dharma Nasution tersebut merupakan sebuah karya komedi kekeluargaan tentang seorang bapa yang mempertahankan maruah dan kebahagiaan anaknya.
Apek memegang watak sebagai Mamu Tajuddin yang merupakan seorang pengusaha restoran terkenal di Pulau Pinang yang memiliki jiwa seni dan bercita-cita untuk menjadi hero di layar perak.
Berkongsi lanjut, Apek menyifatkan setiap tawaran yang datang sebagai rezeki, terutama apabila diberi kepercayaan menerajui naskhah yang menuntutnya bertutur dalam loghat Utara.
“Bila ada peluang untuk naskhah yang menuntut loghat Utara, saya memang look forward sebab rasa macam diterima walaupun bukan orang Utara.
“Dahulu watak-watak saya mesti jadi anak, cucu atau abang. Sekarang dah mula jadi bapa dan datuk. Sesuai, seiringlah dengan usia saya kan,” kongsinya.














