fbpx
ALICE (kanan) melayan para pelancong yang berminat dengan hasil kraf tangan suku Penan di Mulu, Sarawak.

Alice penerus legasi kraf tangan Penan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TINGGAL di pedalaman Mulu, Sarawak yang hanya boleh diakses oleh orang luar melalui perjalanan udara membuatkan Alice Khing, 24, lebih dekat dengan alam semula jadi serta tradisi masyarakat setempat.

Sama seperti gadis Penan lain, dia mula mempelajari seni kraf tangan sejak berusia 12 tahun daripada ahli keluarga seperti nenek, kakak dan ibu saudaranya.

Kemahiran itu penting kerana hasil seni berkenaan turut diguna secara harian, selain menjadi sumber pendapatan sampingan keluarganya.

Menurut Alice, aktiviti kraf tangan biasanya dilakukan pada waktu lapang selepas selesai menguruskan rumah dan berkebun.

“Bagi masyarakat Penan, anak perempuan biasanya diajar melakukan pelbagai seni sejak kecil sebagai sebahagian daripada kehidupan harian serta identiti.

“Antara kraf tangan pertama yang saya pelajari adalah talem iaitu hiasan manik yang digunakan sebagai alas atau hiasan meja.

“Kalau talem bersaiz kecil, biasanya saya mengambil masa kira-kira dua hari untuk menyiapkannya. Kalau yang lebih besar, ia mengambil masa lebih lama,” katanya kepada K-Remaja baru-baru ini.

Selain menghasilkan kraf tangan berasaskan manik, Alice turut membuat pelbagai anyaman rotan seperti tikar dan gelang.

Proses menghasilkan kraf tangan rotan bukan mudah kerana bahan mentah itu perlu dicari sendiri di hutan sebelum diproses.

Rotan yang diperoleh juga mempunyai duri, sekali gus menjadikan proses pengambilannya sukar dan perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Sebelum dianyam, rotan akan dimasak dalam tin di atas api sehingga mendidih, kemudian direndam bersama bahan semula jadi seperti daun kayu dan lumpur selama dua hingga tiga hari bagi menghasilkan warna hitam.

ALICE menunjukkan hasil anyaman rotan yang dihasilkannya.

Selepas itu, rotan akan dibasuh dan diperiksa. Jika warnanya belum cukup hitam, proses pemanasan akan diulang sebelum rotan sedia untuk dianyam.

Kongsi Alice, ahli keluarganya akan masuk ke hutan selama dua hari satu malam untuk mencari rotan dalam jumlah yang banyak supaya boleh digunakan lebih lama.

“Sebulan sekali, saya akan ikut ayah masuk ke hutan untuk mencari rotan dan kami akan bermalam di dalam hutan.

“Perjalanan dari rumah ke kawasan persinggahan mengambil masa sehari. Kemudian, kami tidur semalam sebelum meneruskan perjalanan ke tempat rotan.

“Kemudian, kami membawa hasil dan tidur semalam di kawasan persinggahan, sebelum pulang ke rumah pada keesokan harinya,” katanya.

Selain menghasilkan kraf tangan, Alice turut membantu keluarganya menjual hasil seni di kawasan yang dikunjungi oleh pelancong luar.

Alice mengakui, kadangkala dia berdepan kesukaran untuk berkomunikasi dengan pelancong asing kerana tidak begitu fasih berbahasa Inggeris.

Namun Alice menganggap hasil kraf merupakan salah satu cara dia berhubung dengan dunia luar.

“Saya tidak begitu fasih berbahasa Inggeris, jadi kadang-kadang saya menghadapi kesukaran ketika berurusan dengan pelancong.

“Tetapi saya melihat perkara itu sebagai peluang untuk belajar berkomunikasi dan berkongsi hasil kraf tangan saya dengan orang luar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN