fbpx
ZULKIFLY menjalankan perniagaan labu sayong sejak 15 tahun lalu.

Zulkifly teruskan legasi labu sayong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERFUNGSI sebagai tempat menyimpan minuman, labu sayong merupakan kraf tangan terkenal di Perak. 

Seni tersebut menjadi ikon kepada warga setempat terutamanya penduduk di Sayong, Kuala Kangsar. 

Salah seorang pembuat labu sayong, Zulkifly Amir Hashim, 59, berkata, dia telah mengusahakan kraf tangan itu sejak 15 tahun lalu. 

Berkongsi fakta tentang labu sayong, lelaki yang mesra disapa Zulkifly memberitahu, ia dibahagikan kepada dua jenis iaitu hitam dan terakota (warna asli atau coklat kemerahan). 

Bonggol yang sering menjadi perhiasan pada labu sayong dipanggil buah gelugor, sementara tidak berbonggol dikenali sebagai licin. 

“Labu sayong ini selalunya ada dua warna iaitu tanah liat seperti coklat kemerahan dan hitam. 

“Selain menggunakan warna, membakar labu sayong bersama sekam padi juga boleh mengubah ronanya menjadi hitam.

“Sekiranya menggunakan warna, saya tidak saran untuk menyimpan air kerana kandungannya akan tercemar dengan bahan kimia dan dikhuatiri membahayakan kesihatan.

“Labu sayong juga boleh membantu menurunkan suhu air sehingga 18 darjah Celsius untuk labu sayong hitam, manakala labu sayong terakota pula 22 darjah Celsius,” katanya kepada CitaRasa. 

Tambahnya, perniagaan yang diberi nama Xtream Craft itu memasarkan produk labu sayong dalam pelbagai saiz sama ada digunakan untuk menyimpan air atau cenderahati. 

MESIN roda putar sangat sinonim dengan penghasilan labu sayong.

“Sejak kecil, saya sudah terbiasa dengan pembuatan labu sayong tradisional kerana sering melihat nenek melakukannya. 

“Tetapi keluarga saya tidak mewarisi kemahiran itu kerana bapa dahulu bekerja sebagai penjawat awam.

“Saya juga tidak berminat untuk meneruskan perniagaan labu sayong. 

“Bagaimanapun 15 tahun lalu, saya mula menjalankan perniagaan ini untuk menjana pendapatan sampingan.

“Walaupun sudah memiliki gaji tetap, tetapi saya fikir ini adalah salah satu usaha untuk meraih lebih pendapatan tambahan,” katanya. 

Dalam pada itu, Zulkifly memberitahu, proses penghasilan labu sayong kini menggunakan mesin acuan tekan atau moulding press machine berbanding kaedah tradisional (mesin roda putar). 

Ujarnya, mesin roda putar sangat sinonim dengan penghasilan labu sayong atau produk tembikar, namun disebabkan ingin menembusi pasaran komersial, Zulkifly memilih menggunakan mesin acuan. 

“Waktu awal perniagaan, saya membeli labu sayong siap (asas) untuk dicat, sebelum menjualnya semula. 

“Setelah beberapa tahun, saya beralih kepada penggunaan mesin acuan tekan kerana lebih jimat.

“Hanya tuangkan bancuhan tanah liat dalam acuan, dijemur sebelum dibakar dan dicat. Semua proses ini dianggarkan memakan masa sekitar lima jam. 

“Cara ini bukan saja dapat menjimatkan masa, tetapi dapat mengelak berlaku kerosakan akibat kesilapan (human error),” ujarnya.

LABU sayong yang diwarnakan tidak sesuai untuk penyimpanan air.

Biarpun menggunakan kaedah berteraskan teknologi mesin, namun Zulkifly tetap mengekalkan kesenian labu sayong supaya tidak terus ditelan zaman. 

“Labu sayong ini adalah tanda kesenian Melayu yang telah digunakan sejak sekian lama. Dahulu, labu sayong hitam banyak digunakan oleh golongan bangsawan dan pemerintah. 

“Sementara labu sayong terakota digunakan oleh rakyat biasa. Namun kini, labu sayong semakin mudah didapati dan sering digunakan untuk majlis rasmi atau perhiasan. 

“Terus terang, saya dahulu pun tidak melihat hasil kesenian ini mampu membantu keluarga menjana lebih pendapatan. 

“Bagaimanapun, saya tetap mengekalkan tradisi labu sayong biarpun penghasilannya sudah beralih kepada kaedah mesin,” katanya. 

Zulkifly turut memaklumkan, kehadiran media sosial banyak membantunya untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan. 

“Awalnya, memang agak mencabar kerana mempunyai banyak persaingan. 

“Tetapi setelah memahami corak pasaran, saya mula mendaftar dengan Kraftangan Malaysia dan agensi kerajaan. 

“Bagi saya, media sosial ini juga satu rahmat kebijaksanaan kurniaan Tuhan sehingga kita boleh mempromosikan barangan dengan mudah,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN