KOTA BHARU – Seorang penternak itik telur di Kampung Sering di sini tidak menyangka cuaca panas yang melanda sejak bulan lalu menyebabkan pengeluaran telur haiwan tersebut berkurangan sehingga 40 peratus.
Sebanyak 900 ekor itik jenis Khaki Campbell yang diternak oleh Mohd. Fakri Mazlan, 43, sebelum ini mampu bertelur sebanyak 450 biji sehari dan kini menurun kepada 250 biji.
Mohd. Fakri berkata, keadaan cuaca yang panas menyebabkan itik ternakannya kurang selera makan sekali gus menjejaskan penghasilan telur.
Menurutnya, ada juga itik peliharaan berusia lebih lima tahun yang tiada selera makan akibat cuaca panas mati kerana kekurangan nutrisi.
“Meskipun bekalan makanan dan air cukup, itik pastinya tak lalu makan semasa cuaca panas sekali gus merencatkan proses haiwan itu untuk bertelur.
“Pengeluaran telur berkurangan sehingga 200 biji sehari bermula bulan lalu. Jika cuaca panas berterusan, tidak mustahil telur akan berkurangan dan lebih banyak haiwan akan mati selepas ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Sering di sini kelmarin.
Mohd. Fakri memberitahu, dia tidak pernah melepas semua itik peliharaannya di kawasan tali air walaupun cuaca panas kerana bimbang haiwan itu akan terkejut apabila dikurung semula di kawasan berpagar.
Katanya, itik jenis Khaki Campbell sepatutnya tahan lasak dan tidak cerewet dalam aspek penjagaan, namun akan kurang bertelur sekiranya terdedah cuaca panas.
“Bagi menjamin pengeluaran telur yang berkualiti, saya tidak akan lepas itik-itik itu di luar kerana bimbang ia memakan sisa-sisa buangan,” ujarnya.














