CAMERON HIGHLANDS – Cuaca panas melanda negara mendorong orang ramai mengambil peluang bercuti ke Cameron Highlands termasuk pada cuti hujung minggu.
Seorang pengunjung, Zulkhairi Harun, 37, berkata, dia bersama keluarga membuat keputusan ke tanah tinggi berkenaan selepas pulang ke rumah mentuanya di Felda Sungai Retang, Jerantut untuk menyambut hari raya.
Katanya, Jerantut antara daerah mencatatkan tahap kepanasan tinggi ketika ini, sekali gus mendorong mereka mencari destinasi lebih sejuk untuk berehat.
“Kami datang secara konvoi melibatkan empat keluarga dengan tiga buah kenderaan. Memang terasa perbezaan suhu terutama pada waktu malam.
“Keadaan cuaca di Cameron Highlands berbeza pada waktu siang apabila suhu sedikit panas terutama menjelang tengah hari, namun masih lebih nyaman berbanding kawasan tanah rendah,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi pengunjung, Siti Zulaikha Md Zain, 35, berkata, kawasan tumpuan pelancong dipenuhi orang ramai sepanjang tempoh percutian tersebut.
“Memang ramai orang, boleh dikatakan sesak di kebanyakan lokasi termasuk taman awam, kawasan tumpuan seperti Tokyo Town, Kea Farm dan ladang teh serta kawasan perniagaan.
“Kesesakan trafik turut berlaku dengan keadaan jalan raya sesak berikutan pertambahan kenderaan masuk ke kawasan tanah tinggi ini,” jelasnya.
Ujar Siti Zulaikha, premis makanan dan medan selera juga dipenuhi pelanggan, malah ada terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan tempat duduk.
“Ini menunjukkan Cameron Highlands kekal destinasi pilihan utama pelancong untuk ‘melarikan diri’ daripada cuaca panas,” katanya.














