fbpx
Fahmi ketika hadir ke Mahkamah Majistret Balik Pulau dengan ditemani isterinya, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD

Bicara kes Fahmi Zainol pukul isteri 18 Ogos depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALIK PULAU – Perbicaraan kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol yang didakwa atas pertuduhan memukul isterinya dalam kejadian 22 Februari lalu ditetapkan pada 18 Ogos depan.

Mahkamah Majistret di sini hari ini membuat keputusan tersebut selepas permohonan tarikh perbicaraan tersebut mendapat persetujuan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Majistret Chia Huey Ting turut menetapkan 14 Mei ini sebagai tarikh serahan dokumen dan laporan perubatan berhubung kes terbabit.

Ketika prosiding, peguam yang mewakili Fahmi, Dr. Shamsher Singh Thind memohon tarikh perbicaraan diawalkan selepas membantah tarikh permohonan sebutan kes selama dua bulan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly.

“Penangguhan kes selama dua bulan sebelum ini telah menyebabkan pembaziran dan sekiranya ditangguhkan lagi ia akan menyebabkan kes terus berlarutan tanpa keperluan.

“Pengadu telah buat dua laporan polis iaitu sebelum dan selepas pertuduhan dan ada usaha untuk menarik balik kes yang dihadapi kerana ini melibatkan kes rumah tangga,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly turut memaklumkan bahawa laporan perubatan dijangka diperoleh pada minggu ini.

Huey Ting kemudian menetapkan 14 Mei sebagai tarikh serahan dokumen termasuk laporan perubatan manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada 18 Ogos, pada pukul 11 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN