SAINGAN Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark akan membuka tirai secara rasmi esok dengan skuad badminton wanita negara bakal mengharungi aksi sulung Kumpulan B menentang Turkiye Sabtu ini.
Walaupun dibarisi rata-rata pemain muda, namun ia bukanlah halangan untuk pasukan negara mempamerkan aksi terbaik dan mencapai sasaran melangkah ke pusingan kalah mati pada edisi kali ini.
Kapten skuad Piala Uber negara, M. Thinaah mengakui pasukan berada dalam keadaan cukup baik selepas menjalani kem latihan pusat di Herning, Denmark bagi membentuk semangat kerjasama antara pemain.
Walaupun tanpa kehadiran Pearly Tan, namun Thinaah menegaskan, Piala Uber merupakan acara berpasukan dan pemain-pemain lain mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pasangannya itu.
“Memang sedih kerana Pearly tidak ada di sini kerana semua orang mahu dia datang bersama pasukan. Dia juga minta maaf kerana tidak dapat datang, tetapi ini adalah acara berpasukan, jadi masih ada pemain lain.
“Setakat ini memang permulaan yang baik untuk kami, terutamanya pasukan wanita. Saya harap keadaan positif ini kekal hingga ke Piala Uber dan kami akan cuba berjuang untuk dapatkan keputusan yang baik,” katanya kepada BAMTV.
Tambah Thinaah, dia mahu semua pemain wanita negara memberikan segala-galanya setiap kali melangkah masuk ke dalam gelanggang selain menikmati setiap detik beraksi pada kejohanan berprestij itu.
“Harapan saya kepada pasukan wanita adalah supaya kami dapat mengekalkan aksi terbaik dan jangan ada rasa kesal apabila masuk ke dalam gelanggang. Nikmati setiap detik perlawanan itu,” ujarnya.














