ERA teknologi telah memungkinkan pelbagai imaginasi moden menjadi kenyataan termasuk dalam sektor kenderaan.
Kereta dua alam atau kenderaan amfibia (amphibian vehicle) bukan lagi sekadar konsep futuristik atau eksperimen kejuruteraan semata-mata.
Mula dibangunkan untuk kegunaan ketenteraan pada Perang Dunia Kedua bagi operasi pendaratan di pantai, kenderaan dua alam terus berkembang dari zaman ke zaman.
Menjelang tahun 2026, teknologi berkaitan kenderaan ini dilihat semakin mendapat perhatian global.
Menurut Penyelidik dari Kolej Sains dan Teknologi Perisikan, Universiti Teknologi Pertahanan Kebangsaan Changsha China, Xiaojun Xu, kenderaan amfibia dilihat sebagai solusi mobiliti pelbagai persekitaran iaitu darat dan air yang lebih efisien, fleksibel serta relevan dengan cabaran perubahan iklim dan urbanisasi moden masa kini.
“Inovasi dalam bidang ini bukan sahaja melibatkan reka bentuk fizikal, tetapi juga merangkumi sistem pendorongan, kejuruteraan bahan, automasi serta integrasi kecerdasan buatan (AI).
“Secara asasnya, kenderaan amfibia direka untuk beroperasi di dua medium berbeza tanpa memerlukan pertukaran kenderaan,” katanya di sciencedirect.com.
Tambahnya, keupayaan ini menjadikannya sangat berguna dalam sektor seperti pertahanan, operasi menyelamat dan pelancongan. Dalam konteks global, beberapa pengeluar telah memainkan peranan penting dalam memacu teknologi ini ke hadapan.
Antaranya WaterCar dari Amerika Syarikat yang terkenal dengan model WaterCar Panther, selain WaterCar Phyton, kenderaan berprestasi tinggi yang mampu mencapai kelajuan luar biasa di darat dan air serta memegang rekod dunia bagi kenderaan amfibia terpantas dengan kelajuan 204 kilometer sejam (km/j) di darat dan 96km/j di air.

WaterCar mula memperkenalkan kenderaan amfibia komersial pertamanya pada tahun 2013 dan sejak itu terus mencipta pelbagai model sehingga terbaharu WaterCar EV dan WaterCar Panther XL bersesuaian keperluan terkini.
Selain itu, Gibbs Sports Amphibians antara peneraju teknologi High Speed Amphibian (HSA) yang membolehkan peralihan pantas dari darat ke air dengan kelajuan tinggi hanya dengan menekan satu butang.
MENURUT portal Coherent Market Insights, model seperti Gibbs Aquada dan Humdinga menunjukkan bagaimana teknologi ini mampu mencapai kelajuan tinggi sambil mengekalkan kestabilan di kedua-dua permukaan.
Gibbs Aquada misalnya mampu dipandu dengan kelajuan 160 kilometer sejam (km/j) di daratan dan 48km/j di air.
“Keupayaan roda untuk ditarik masuk secara automatik dan sistem jet air menjadikan inovasi mereka antara yang paling canggih dalam industri.
“Dalam segmen kenderaan rekreasi mewah pula, Cool Amphibious Manufacturers International menghasilkan model seperti Hydra Spyder, sebuah kereta sport amfibia yang menggabungkan reka bentuk elegan dengan keupayaan teknikal tinggi,” tulisnya.
Ujarnya lagi, kenderaan rekreasi mewah ini mampu bertukar mod secara automatik apabila memasuki air, sekali gus menunjukkan kematangan teknologi dalam sektor komersial.
Pada tahun 2008, Rinspeed sQuba, kereta amfibia pertama di dunia yang bukan saja boleh dipandu di darat tetapi juga ‘menyelam’ di bawah air pernah diperkenalkan. Bagaimanapun, tiada lagi informasi terbaharu mengenai kenderaan keluaran syarikat Switzerland itu.
Perkembangan terkini juga menyaksikan kemasukan pemain industri besar dalam sektor kenderaan amfibia khususnya dalam bidang pertahanan. Lockheed Martin dan Rheinmetall kini aktif membangunkan kenderaan amfibia generasi baharu yang dilengkapi sistem autonomi dan keupayaan operasi pelbagai misi.

Malah, pengeluar dari China seperti Norinco turut memainkan peranan penting dengan pengeluaran berskala besar bagi memenuhi permintaan global.
Dari sudut kejuruteraan, cabaran utama dalam pembangunan amphibian car adalah memastikan keseimbangan antara prestasi di darat dan kecekapan di air.
Oleh itu, reka bentuk badan aerodinamik dan teknologi pengurangan rintangan air menjadi fokus utama dalam inovasi terkini.
Dalam sektor ketenteraan, negara-negara maju kini giat membangunkan kenderaan amfibia generasi baharu yang lebih tahan lasak, pantas dan dilengkapi sistem persenjataan moden.
Menurut penulisan sebuah portal pertahanan di Eropah, kenderaan ini membolehkan pasukan tentera melaksanakan operasi pendaratan dari laut ke darat dengan lebih efisien.
“Beberapa model terkini dilengkapi teknologi perlindungan balistik dan sistem navigasi canggih untuk meningkatkan keupayaan taktikal. Ia juga perlu cukup ringan untuk terapung, namun cukup kukuh untuk menahan tekanan permukaan jalan,” ujarnya.
Bagi kegunaan awam pula, amphibian car semakin mendapat tempat dalam sektor pelancongan dan rekreasi. Di beberapa bandar antarabangsa, kenderaan ini digunakan untuk lawatan bandar yang unik, membolehkan pelancong menikmati pengalaman darat dan air dalam satu perjalanan.
Selain itu, ia juga digunakan dalam sektor pembinaan dan perladangan di kawasan berpaya atau sukar diakses, menjadikannya alat yang sangat praktikal.
Menjelang 2026, salah satu perkembangan paling ketara adalah penggunaan sistem pendorongan elektrik dan hibrid. Trend ini selari dengan usaha global untuk mengurangkan pelepasan karbon.
WaterCar misalnya muncul dengan model WaterCar EV yang merupakan kereta amfibia elektrik tetapi ia masih berkelajuan rendah.
Kajian terkini oleh penyelidik dari Universiti Cornell Amerika Syarikat, Xinyu Zhang menunjukkan terdapat juga kini potensi pembangunan kenderaan amfibia yang mampu beroperasi di udara, darat dan air secara serentak.
“Konsep ini dikenali sebagai kenderaan multi-medium dan berpotensi merevolusikan sistem pengangkutan masa depan. Walaupun masih di peringkat awal, ia memberi gambaran jelas tentang arah tuju inovasi dalam bidang ini,” kongsinya.
Pun begitu katanya, penggunaan bateri masih menjadi cabaran dari segi berat dan keapungan. Penyelidikan berterusan dalam teknologi bateri ringan dijangka dapat mengatasi isu itu dalam masa terdekat.
Dalam masa sama, integrasi teknologi pintar turut mempercepat evolusi. Sistem sensor dan AI membolehkan kenderaan mengesan perubahan permukaan dan menukar mod secara automatik tanpa campur tangan manusia.
“Teknologi ini amat penting dalam operasi menyelamat ketika banjir atau bencana alam, di mana kecekapan dan kelajuan tindak balas menjadi faktor kritikal.
“Dari perspektif pasaran, industri kenderaan amfibia menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan,” tambah Zhang.
Permintaan semakin meningkat bukan sahaja dalam sektor ketenteraan, tetapi juga dalam sektor awam seperti pelancongan, pengangkutan di kawasan terpencil dan operasi logistik di kawasan berpaya.
Pun begitu, dalam aspek menjadikannya multi-medium beberapa cabaran masih perlu diatasi termasuk kos pembangunan yang tinggi, isu keselamatan dan kekangan peraturan di pelbagai negara.
Tambahan pula, penerimaan pengguna masih bergantung kepada tahap kebolehpercayaan dan praktikaliti teknologi ini dalam penggunaan harian.
Dengan penglibatan pelbagai jenama seperti WaterCar, Gibbs dan pemain industri besar dalam sektor pertahanan, teknologi ini kini bergerak dari sekadar inovasi niche ke penyelesaian mobiliti masa depan. Gabungan kejuruteraan canggih, teknologi hijau dan sistem pintar menjadikan kenderaan amfibia antara inovasi paling menarik dalam dunia automotif moden.














