fbpx
Dua daripada tujuh lelaki yang didakwa atas pertuduhan berlagak seperti perempuan dengan berpakaian wanita di Mahkamah Syariah Kota Bharu, hari ini. Foto oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Tujuh lelaki didakwa berlagak, berpakaian wanita dalam apartmen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seramai tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Rendah Syariah, di sini hari ini atas pertuduhan berlagak seperti perempuan dengan berpakaian wanita di dalam dewan serbaguna sebuah apartmen di Jalan Mahmood pada tahun lalu.

Ketujuh-tujuh lelaki yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 30 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan di depan Hakim Syarie, Zahari Mohd. Yusoff.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berlagak seperti perempuan dengan memakai pakaian wanita, berskirt pendek paras paha, berkasut tumit tinggi, berseluar ketat dan berambut sanggul.

Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di dalam dewan serbaguna sebuah apartmen di Jalan Mahmood, di sini kira-kira pukul 11 malam pada 30 Mei 2025.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Kelantan, Shamsiah Hassan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam syarie, Muhammed Syarafi Mohd. Salleh, Mohd. Faqqhuruddin Mohd. Nasir dan Muhammad Amirul Ashraf A. Ghani.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh selain menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Muhammed Syarafi ketika ditemui pemberita berkata, kesemua tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.

Menurutnya, Mahkamah Rendah Syariah di sini bersetuju menjalankan prosiding perbicaraan ketujuh-tujuh anak guamnya pada 5 Julai depan bersama enam lagi tertuduh yang sudah didakwa atas pertuduhan sama sebelum ini.

Terdahulu, tujuh individu itu merupakan antara 13 lelaki yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dalam serbuan yang dijalankan di sebuah apartmen di Jalan Mahmood di sini pada 30 Mei tahun lalu.

Operasi itu dijalankan oleh Jaheaik hasil maklumat awam dan turut melibatkan pihak polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN