KUALA LUMPUR – Dituduh berlagak diva, pelakon Chacha Maembong mengakui pernah dicop sombong hanya disebabkan raut wajahnya yang tampak garang apabila keletihan.
Chacha atau Siti Aishah Ismail, 30, berkata, dakwaan tersebut sebagai tanggapan individu yang sekadar melihatnya dari jauh tanpa mengenali sisi peribadinya.
“Saya akui air muka saya nampak ‘keras’, lebih-lebih lagi selepas kepenatan pulang dari penggambaran sampai dikatakan macam diva dan menyombong.
“Hakikatnya saya bukan begitu. Kalau orang tegur, saya balas secara baik. Saya siapa nak berlagak diva? Cuma mungkin orang tak kenal, jadi sangka saya bersikap sebegitu.
“Kalau nampak saya macam sombong, itu kerana saya penat. Jika dah kenal mesti tahu saya bukan macam diperkatakan,” katanya ketika ditemui pada majlis Macam-Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment, baru-baru ini.
Walau berdepan sangkaan buruk, pelakon drama Cukup Derita Itu menyifatkan salah faham segelintir individu terhadapnya sebagai asam garam kehidupan.
“Tiada sekelumit pun rasa marah dituduh sedemikian kerana itu bukan diri saya. Terpulang apa yang orang nak cakap, saya tak simpan dalam hati.
“Sebagai pelakon, mental kena kuat. Kalau ada yang masih tuduh saya diva, saya cuma balas dengan ucapan terima kasih sahaja,” katanya.
Pada masa sama, Chacha berpegang kepada prinsip tidak membalas perbuatan jahat disebabkan yakin terhadap kifarah atas tindakan setiap insan.
“Biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Balasan Allah itu tetap ada. Daripada membalas dengan kata-kata kasar, saya hanya serahkan semuanya kepada Allah. Tiada dendam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














