fbpx
AINA mengakui gangguan teknikal yang berlaku sedikit sebanyak mengganggu fokus dan menjejaskan nyanyiannya di atas pentas AJL40SA, semalam.

‘Terkilan, sepanjang raptai langsung tiada gangguan teknikal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mengakui kurang berpuas hati dengan persembahannya di pentas Separuh Akhir Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40SA) menerusi lagu Kamu susulan berlaku masalah teknikal.

Menurut Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, gangguan yang berlaku sedikit sebanyak mengganggu fokus dan menjejaskan nyanyiannya di atas pentas.

“Saya tidak berapa puas sebenarnya. Mungkin ada yang perasan, ada sedikit gangguan teknikal yang berlaku dan itu antara sebab saya rasa kurang puas hati.

“Gangguan teknikal itu berlaku seketika dan sedikit sebanyak mengganggu persembahan saya. Sejujurnya, saya agak terkilan dan kecewa juga. Sepanjang sesi raptai, langsung tiada masalah seperti ini berlaku.

“Namun, inilah persembahan secara langsung. Apa sahaja boleh terjadi. Saya terima sahaja, cuma rasa sedikit kecewa itu memang ada,” katanya ketika ditemui pada sidang media hari pertama AJL40 SA, di sini, semalam.

Tambahnya, sepanjang tujuh tahun menyertai AJL, itu kali pertama dia berdepan dengan masalah teknikal.

“Sebenarnya sepanjang saya sertai Muzik-Muzik ataupun AJL, perkara sebegini tidak pernah berlaku. Tetapi perkara tersebut berlaku pada saya malam ini (semalam). Dah nasib saya. Tak apa lah,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, pemenang Anugerah Vokal Terbaik AJL tiga tahun berturut-turut itu berharap dapat menebus peluang untuk melakukan yang terbaik sekiranya karya tersebut berjaya layak ke pentas akhir AJL40.

“Saya harap akan ada peluang lain, mungkin di pentas final untuk saya tebus kembali segala kekurangan yang berlaku.

“Walaupun begitu, kalau ada yang kata persembahan saya masih bertenaga, saya bersyukur. Gangguan itu hanya berlaku di hujung persembahan sahaja. Saya risau juga memikirkan penonton di rumah kerana mereka tidak menyaksikan secara langsung dan mungkin akan membuat pelbagai tanggapan.

“Namun bagi saya, yang penting adalah juri yang berada di hadapan dan penonton di studio dapat melihat sendiri persembahan saya. Mereka tahu saya menyanyi secara langsung dan memahami bahawa perkara seperti ini memang boleh berlaku,” ujarnya.

Hari pertama AJL40 SA menyaksikan 12 buah lagu berentap iaitu Kamu (Aina Abdul), Pernah Punya Aku (Shila Amzah), Hijab Rindu (Black Hanifah), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan Londoh), Tiwikarma (KOI), Puaskah (Ameerais & Mariam Saim), Semacam Pandora (Hazama), F (Floor 88), Rasa & Takdir (Irfan Harris & Umairah), Hilangmu Tak Terganti (Afieq Syazwan & Tajul), Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik) dan Kerana Ego (Tuah Azmi).

Keputusan lagu manakah yang bakal mara ke pentas akhir akan ditentukan pada malam ini menerusi siaran langsung AJL40 SA hari kedua, di TV3 pukul 9 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN