CAMERON HIGHLANDS – Penggunaan racun perosak yang dilarang di Cameron Highlands bukan perkara baharu kerana dipercayai sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
Presiden Persatuan Keseda-ran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) A. Dilip Martin berkata, penguatkuasaan yang lemah menjadi punca utama racun haram itu masih digunakan di kawasan tersebut yang terkenal sebagai pusat pertanian termasuk sayur-sayuran.
“Saya sudah membangkitkan dalam mesyuarat pasukan petugas, isu ini bukan baharu, tetapi sudah lebih 40 tahun namun tiada tindakan.
“Bila ada laporan dan kecoh baru penguat kuasa pertanian datang tengok, selepas itu senyap dan penggunaan racun ini terus dibiarkan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan sayur beracun dari daerah ini yang dihalang memasuki Singapura sama ada menggunakan racun perosak secara berlebihan atau tidak dibenarkan dikhuatiri dijual di pasaran tempatan dan berisiko menjejaskan kesihatan pengguna.
Dakwaan itu berasas apabila Singapura mengeluarkan 39 notifikasi penolakan melibatkan 14 pengeksport sayur dari daerah ini pada tahun lalu.
Oleh itu menjadi persoalan ke mana sayur-sayuran tersebut dilambakkan?
Timbul juga persoalan bagaimana dengan sayur-sayuran yang dijual dalam negara ini adakah ia dihasilkan oleh ladang yang sama?
Mengulas lanjut, Dilip berkata, racun haram tersebut termasuk yang mempunyai kandungan dichlorodiphenyltrichloroethane (DDT) kebanyakannya dibawa masuk dari Thailand sebelum dihantar kepada pembeli di daerah ini.
Katanya, racun tersebut digunakan pekebun yang mementingkan diri sendiri kerana keberkesanannya terhadap serangga perosak.
“Isunya adalah penguatkuasaan kerana racun-racun ini dihantar kepada pembeli melalui jalan darat, (jadi) penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara lebih kerap,” katanya.
Tegas beliau, pihak berkuasa perlu memandang serius isu tersebut kerana melibatkan kesihatan orang ramai dan masa depan Cameron Highlands yang terkenal dengan pertanian di seluruh negara.
Katanya, penggunaan racun dilarang sudah tentu akan memberi kesan jangka panjang kerana ia akan kekal lama di dalam tanah selepas penggunaannya.















