fbpx
Cuaca panas memaksa Halim membawa lembu ternakannya untuk memakan rumput dan minum air di tepi sungai di Segamat semalam.

Cuaca panas: Lembu makan, minum tepi sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGAMAT – Cuaca panas ­ekstrem ekoran fenomena El Nino yang melanda negeri ini bukan hanya menyebabkan manusia kurang selesa, malah membuatkan penternak mengambil langkah luar biasa apabila membawa haiwan masing-masing ke tepi sungai untuk mendapatkan sumber makanan dan air.

Halim Mohd., 69, berkata, ke­a­daan padang ragut yang semakin kering memaksanya membawa ter­nakan ke lereng Sungai Segamat sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, rumput di kawasan berhampiran sungai masih kekal menghijau walaupun cuaca panas melanda, sekali gus menjadi satu-satunya pilihan untuk memastikan haiwan ternakannya terus mendapat makanan mencukupi.

“Saya tiada pilihan lain kerana kebanyakan kawasan ragut sudah kering. Di tepi sungai ini sahaja rumput masih ada dan lembu juga boleh minum air dengan mudah,” katanya ketika ditemui di sini.

Halim berkata, dia membawa kira-kira 25 ekor lembu dari kandangnya di Jalan Hassan ke Sungai Segamat, sejauh kira-kira dua kilometer, sebanyak tiga kali seminggu.

Katanya, keadaan itu menunjukkan bukan sahaja manusia terkesan dengan musim kemarau, malah haiwan ternakan turut berdepan kekurangan sumber makanan dan air.

“Lembu-lembu ini kurang minum dan sukar mendapat rumput segar. Jadi saya perlu pastikan mereka dibawa ke kawasan yang masih mempunyai sumber semula jadi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, faktor keselamatan turut diambil kira memandangkan paras air sungai kini lebih cetek berikutan cuaca panas.

Jelasnya, lembu-lembu tersebut hanya dilepaskan di kawasan cetek bagi mengelakkan risiko tergelincir atau lemas.

“Air sungai sekarang surut, jadi lembu hanya minum di gigi air. Saya juga sentiasa memantau dan mengawal pergerakan mereka,” katanya.

Tambahnya, dia menggunakan laluan lereng sungai untuk membawa pulang ternakan ke kandang bagi mengelakkan haiwan itu memasuki jalan utama dan mengganggu lalu lintas.

Dia berharap cuaca panas berakhir segera kerana situasi berpanjangan akan terus menjejaskan bekalan makanan serta kesihatan ternakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN