fbpx
TIDAK sekadar melunaskan tugas sebagai pelakon, lebih besar lagi Gayong di jiwa Beto adalah satu perjuangan mengangkat satu lagi nilai peradaban buat bangsa Melayu.

‘Sudah lama tiada filem patriotik dengan kualiti antarabangsa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS berjaya membawa watak pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman dengan baik dalam filem Gayong, tahun ini aktor Beto Kusyairy kembali dengan Gayong 2 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 9 April nanti.

Menurut Beto, 46, filem Gayong pertama memperkenalkan Meor sebagai simbol jati diri dan adab seorang pendekar Melayu, sekuelnya menyaksikan perubahan ketara apabila watak itu memasuki fasa yang lebih mencabar.

“Filem pertama lebih kepada peradaban dan jati diri. Kita nak tunjuk bagaimana pendekar Melayu penuh dengan adab tetapi filem kedua ini dramanya lebih berat,” jelas Beto pada sesi fotografi bersama HibGlam.

Dalam Gayong 2, Meor bukan lagi sekadar pendekar, tetapi seorang lelaki bekerjaya sebagai anggota polis, memiliki keluarga dan berdepan tekanan hidup yang lebih kompleks.

Perubahan menjadikan naratif lebih realistik dan dekat dengan penonton, sekali gus mengangkat watak Meor daripada ikon kepada manusia biasa yang perlu bertahan dalam dunia yang semakin keras.

Jika Gayong pertama ada penonton kecewa kerana lebih drama, namun buat peminat filem aksi kekuatan Gayong 2 terletak kepada aksi yang lebih ganas.

Beto mengakui bahawa sekuel ini menuntut ketahanan fizikal yang tinggi, malah lebih ‘brutal’ berbanding filem pertama.

“Aksi untuk bahagian kedua ini lebih banyak dan lebih brutal. Kalau filem pertama kita nak tonjolkan kesenian silat, yang kedua ini memang penuh dengan pertarungan.

“Sampaikan isteri saya dalam filem ini Nabila Huda penat lihat kami pelakon lelaki asyik berlawan tanpa henti,” katanya.

DENGAN seni silat yang berakar dalam jiwa sejak kecil, Beto sebenarnya tiada masalah dengan adegan aksi yang diperlukan hanya latihan stamina.

Aksi ‘brutal’

Penglibatan koreografer aksi terkenal Indonesia, Yayan Ruhian sekali lagi menjadi tulang belakang kepada babak-babak pertarungan yang lebih realistik dan bertenaga.

Dengan pengalaman luas dalam filem aksi antarabangsa, sentuhan Yayan membantu mengangkat mutu aksi Gayong 2 ke tahap yang lebih tinggi, selari dengan aspirasi produksi untuk mencapai standard antarabangsa.

“Rasanya sudah lama kita tidak ada sebuah filem yang mengangkat nilai patriotik dan dibikin dengan kualiti antarabangsa.
Filem Gayong 2 ada semuanya, drama, aksi, sejarah dan kualiti,” tutur Beto.

Selain aksi, Gayong 2 turut mengekalkan kekuatan dari segi latar sejarah yang menjadi asas kepada penceritaan.

Menurut Beto, produksi cuba mengekalkan ketepatan garis masa sejarah termasuk elemen penghijrahan keluarga ke Singapura, namun dalam masa sama menyelitkan unsur dramatik yang memberi impak emosi.

“Kita cuba ikut ‘timeline’ yang betul. Sejarah kena tepat, tapi dari sudut penceritaan kita lebih kepada inspirasi,” jelasnya.

Latar era pasca perang yang dipaparkan turut membawa elemen baharu termasuk kewujudan kongsi gelap yang sedang berleluasa ketika itu,, sekali gus menambah konflik dan ketegangan dalam jalan cerita.

Pendekatan ini bukan sahaja memperkayakan naratif, malah memberikan gambaran lebih luas tentang realiti masyarakat pada zaman tersebut.

Di sebalik hasil yang dilihat di layar, perjalanan menghasilkan Gayong 2 bukan sesuatu yang mudah.
Beto mendedahkan, antara cabaran terbesar ialah kekangan masa untuk persediaan, memandangkan penggambaran sekuel dilakukan hampir serta-merta selepas penggambaran filem pertama.

“Memang kita tidak sempat hendak melakukan persediaan penuh bagi Gayong 2. Selepas tamat penggambaran pertama, kami cuti seminggu sahaja dan terus sambung filem kedua,” katanya.

Namun, disiplin serta kerjasama pasukan produksi, termasuk pengarah Faisal Ishak, menjadi faktor utama yang memastikan projek berjalan lancar.

“Alhamdulillah sebab ada pasukan yang kuat, pengarah dan pelakon yang bagus, penggambaran di Ipoh Perak, berjalan lancar.

“Sejujurnya, melakukan banyak adegan aksi memang memenatkan tetapi melihat hasilnya saya rasa cukup berbaloi,” luah Beto lagi.

KEMBALI berpadu sebagai suami isteri, aura hero heroin klasik terserlah pada wajah Beto dan Nabila yang akan berpencak di pawagam bermula 9 April nanti.

Warisan

Lebih daripada sekadar filem aksi, Gayong 2 membawa misi besar iaitu mengangkat seni bela diri silat sebagai warisan yang perlu dipelihara.
Beto menegaskan bahawa dalam era moden yang dipengaruhi seni bela diri luar seperti MMA dan pelbagai seni bela diri lain, penting untuk masyarakat menghargai khazanah sendiri.

“Kita ada banyak seni bela diri sekarang yang popular seperti MMA, tapi kita hendak orang tahu ‘barang’ kita. Kita kena hargai dan kekalkan supaya anak cucu tidak lupa.

“Jika kita sendiri tidak pelihara dan perkenalkan kepada generasi muda hari ini, siapa yang lakukannya? Filem Gayong sangat besar ertinya pada saya yang juga seorang pesilat,” katanya.

Berbicara tentang latihan silat, kata Beto pada usianya sekarang dia hanya menjalani latihan intensif jika hanya terlibat dalam filem-filem aksi sahaja.

“Sebagai pesilat yang bermula dari kecil, seni silat itu sudah ada dalam diri saya cuma dengan faktor usia saya hanya jalani latihan jika memerlukan sahaja.

“Contoh untuk filem ini saya bukan sahaja jaga makan, buat latihan setiap hari, tetapi setiap aksi perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tiada kecederaan serius berlaku ketika penggambaran,” tutur Beto menutup bicara.

Gayong 2 bukan sekadar kesinambungan sebuah filem, tetapi manifestasi komitmen Beto dalam mengangkat akar budaya dan cerita tempatan ke tahap lebih tinggi.

Selain Beto, filem Gayong 2 yang terbitan SOL Pictures Sdn. Bhd turut dibintangi Nabila Huda, Syafie Naswip, Fauzie Laily, Bobby Tonelli, Rabbit Chen, Hanna Aqeela, Ayez Shaukat dan Sandra Lim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN