MANCHESTER – Misi memburu gelaran berganda diteruskan Manchester City dalam saingan Piala FA apabila bakal melayan kunjungan Liverpool pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Etihad malam ini.
The Citizens dianggap sebagai pilihan pada perlawanan tersebut apabila bakal turun sebagai tuan rumah selain Liverpool yang turut berada dalam persiapan untuk suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) Khamis nanti.
Pemain tengah City, Bernardo Silva percaya pasukan itu sudah bersedia untuk memburu gelaran kedua musim ini, lebih-lebih lagi pemain baharu yang dibawa masuk semakin menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.
“Saya dapat melihat setiap pemain, termasuk pemain baharu memiliki keinginan yang cukup tinggi untuk menjadi juara. Semua pemain tahu standard yang ditetapkan dalam pasukan dan mereka memikul tanggungjawab dengan sangat baik.
“Sejak lapan atau sembilan tahun ini, memang inilah yang sentiasa diharapkan oleh peminat City. kami akan terus bekerja keras dan memastikan pasukan akan meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya,” katanya.
Pemain Portugal itu menegaskan, mereka tidak ada cara lain selain terus mendapatkan gelaran juara dalam usaha mengembalikan reputasi City yang dilihat agak terumbang-ambing pada saingan musim ini.
“Harapan saya adalah untuk kembali meletakkan City sebagai sebuah pasukan yang sentiasa meraih gelaran juara. Saya yakin rakan sepasukan juga berkongsi harapan yang sama,” ujar Silva. – AGENSI














