fbpx
Sidang akhbar kerjasama Nuh Travels Sdn Bhd dengan RHB Islamic di Ibu Pejabat Nuh Travels, Damansara Perdana di Petaling Jaya hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

Krisis Asia Barat: Nuh Travel perbanyakkan pelancongan ke Asia, Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Susulan ketidaktentuan akibat krisis geopolitik di Asia Barat, Nuh Travel & Tours Sdn. Bhd. (Nuh Travel) mengambil langkah proaktif dengan memperbanyakkan pakej pelancongan ke destinasi lebih selamat di Asia dan Eropah bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nuh Travel, Abdul Halim Aliumar berkata, pihaknya telah merangka pelan kontingensi sejak awal krisis berlaku dengan melakukan perubahan kira-kira 40 peratus terhadap variasi produk pelancongan sedia ada.

Menurut beliau, tumpuan kini diberikan kepada destinasi yang kurang berisiko seperti di Asia Tenggara serta negara-negara Eropah termasuk New Zealand yang dilihat lebih stabil dan selamat untuk dikunjungi.

“Pergerakan pelancongan ke Asia Tenggara sangat aktif ketika ini, jadi kami tampil dengan pakej yang lebih mampu milik dan selamat, sekali gus mengelakkan kawasan berisiko tinggi.

“Dalam masa sama, kami juga menasihatkan pelanggan menangguhkan penerbangan ke kawasan terjejas serta membantu mendapatkan pilihan bayaran balik penuh daripadasyarikat penerbangan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, Nuh Travel turut meningkatkan aspek keselamatan pelanggan dengan menawarkan perlindungan insurans yang lebih komprehensif, selain memantau secara aktif jadual penerbangan bagi mengelakkan sebarang gangguan perjalanan.

Dalam perkembangan sama, Nuh Travel menjalinkan kerjasama strategik dengan RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) bagi mengetengahkan kemudahan Kad Debit Visa Pelbagai Mata Wang RHB-i kepada pelanggan.

Melalui kolaborasi itu, pelanggan berpeluang menggunakan kadyang menyokong sehingga 34 jenis mata wang, sekali gusmemudahkan urusan pembayaran tanpa tunai ketika berada di luar negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menyelesaikan isu pertukaran wang asing, malah memberi nilai tambah kepada pelanggan dari segi kemudahan, keselamatan serta kadar pertukaran yang lebih kompetitif.

“Kad ini membolehkan pelanggan membuat pembayaran secaraterus atau mengeluarkan wang tunai di luar negara tanpa perlu menukar mata wang secara fizikal malah, ia juga patuh syariah dan dilihat sebagai penyelesaian lengkap kepada keperluan pelancong masa kini,” ujarnya.

Mengulas mengenai penyertaan dalam pameran pelancongan MATTA Fair 2026 bermula semalam, Abdul Halim berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 1,800 pakej jualan dengan nilai keseluruhan mencecah hampir RM10 juta sepanjang tiga hari acara berlangsung.

Menurutnya, sasaran itu ditetapkan lebih realistik berbanding perancangan awal sebanyak 3,000 pakej susulan situasi semasa, namun masih menunjukkan keyakinan terhadap permintaan pasaran.

“Tahun lalu, kami berjaya mencapai kira-kira 1,000 pendaftaran peserta, walaupun dengan kapasiti lebih kecil. Kali ini, kami tampil dengan skala tiga kali ganda termasuk pembukaan beberapa ruang pameran.

“Selain diskaun sehingga RM500, pelanggan juga akan menerima Kad Debit Visa Pelbagai Mata Wang RHB-i tanpa kos serta pelbagai ganjaran lain seperti ganjaran Tambah Nilai e-Wallet apabila berbelanja menggunakan Kad Debit-i dan Kad Kredit-i RHB dan tawaran eksklusif sepanjang MATTA Fair,” katanya.

Beliau menegaskan, kerjasama bersama RHB Islamic bukan sekadar perjanjian perniagaan, sebaliknya satu usaha menyediakan penyelesaian menyeluruh merangkumi pelancongan dan kewangan kepada pelanggan.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan Nuh Travel sebagai platform lengkap yang bukan sahaja menawarkan pakej perjalanan, tetapi juga kemudahan kewangan dan nilai tambah kepada pelanggan,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN