TERIMA KASIH kepada pemilik kamera papan pemuka sebuah kereta yang membantu kita menyaksikan kejadian ngeri seorang pemandu mabuk meragut satu nyawa – seorang penunggang motosikal di Klang pada Ahad lalu.
Dalam kes pembunuhan, biasanya seseorang memegang pisau atau pistol tetapi dalam kes ini individu berkenaan memegang stereng kereta. Ngeri? Apa tidaknya apabila mangsa dengan berat kira-kira 120 kilogram melambung ke udara sebelum terhempas ke atas sebuah kereta lain.
Tidak terucap oleh kita betapa mudahnya seorang yang di bawah pengaruh alkohol menyebabkan kematian seorang bapa kepada tiga anak kecil, sekali gus mereka hilang bergantung hidup, bermanja dan berkasih sayang.
Asal mabuk ini dibenar di negara kita kerana undang-undang membolehkan orang bukan Islam mengguna ‘air syaitan’ ini atas alasan seperti sosial dan budaya.
Arak juga menjadi tradisi dalam beberapa upacara, perayaan. Ada menjadikan sebagai minuman bersantai bersama rakan dan keluarga.
Sebahagian menjadikan arak untuk melegakan tekanan perasaan kerana minuman ini mengandungi bahan-bahan dianggap boleh menyebabkan rasa relaks, mengantuk serta melepaskan dopamin bagi mengatasi kemurungan.
Masalahnya apabila mabuk, seseorang itu akan hilang kawalan diri, sukar berfikir secara logik, hilang pertimbangan dan mengalami perubahan emosi termasuk menjadi terlalu gembira, terlalu sedih, pemarah atau tiba-tiba agresif.
Begitulah mudahnya dengan sebotol atau lebih arak ini mengatasi sementara masalah bagi seorang individu tetapi akhirnya membawa maut kepada orang lain.
Selepas bertahun-tahun masalah ini berlarutan, kerajaan dilihat masih gagal menangani secara tuntas terutama melibatkan hak, kerugian, kesedihan, kecederaan dan kematian orang lain.
Jika si mabuk sahaja mati terpongkang dalam longkang, apa kita peduli tetapi hal ini berkait dengan mereka yang tidak bersalah.
Undang-undang dicipta untuk mengawal perilaku manusia dan digubal untuk mewujudkan keadilan, manakala hukuman pula sebagai pembalasan kepada pesalah serta menjadi pengajaran kepada pesalah dan orang lain.
Masalahnya dalam kes mabuk menyebabkan kematian orang lain, hukuman yang berfokus kepada pesalah tidak lagi dianggap mencukupi apatah lagi jika melibatkan undang-undang di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Rakyat tidak lagi mahu mendengar pemandu mabuk dikenakan hukuman ringan.
Hukuman penjara perlu dimandatorikan. Undang-undang juga perlu segera digubal bagi memastikan wujud hak dan pembelaan dengan menetapkan pampasan selayaknya kepada waris si mati. Jika tidak mampu keluarga pesalah perlu menanggungnya.
Perbicaraan terhadap tertuduh akan mengambil masa bertahun-tahun dan atas nama ‘keadilan’ dia akan diberi peluang merayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.
Dalam tempoh itu, dia bebas menjalani kehidupan biasa, mungkin terus menogok arak dan memandu lagi.
Dalam tempoh itu juga semua orang akan mula lupa kisah sedih dan nasib kehidupan tiga beradik tadi. Mereka menjalani kehidupan yang tidak lagi sama sebelum nyawa bapa mereka diragut tertuduh.
Kepada semua, jangan hanya bercakap berdegar-degar ketika isu sedang panas, silakan bertindak segera. Kes seperti ini akan terus berulang.














