Saudara Pengarang,
Kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini memaksa ramai dalam kalangan kita untuk menilai semula gaya hidup harian.
Salah satu perkara yang sering dipandang remeh ialah tabiat ‘jalan-jalan’ tanpa tujuan yang jelas.
Mungkin nampak kecil, tetapi hakikatnya ia memberi kesan besar kepada perbelanjaan bulanan, khususnya dari segi penggunaan petrol.
Ramai antara kita menjadikan aktiviti memandu ke sana sini sebagai rutin, sama ada untuk mengisi masa lapang atau sekadar ‘cuci mata’.
Namun tanpa disedari, setiap perjalanan itu datang dengan kos melibatkan petrol, tol, parkir dan juga penyelenggaraan kenderaan.
Jika dikira secara keseluruhan, jumlahnya bukan sedikit.
Lebih membimbangkan, ada yang mengeluh harga barang naik, tetapi dalam masa sama masih berbelanja tanpa kawalan.
Perkara asas seperti merancang perjalanan sering diabaikan.
Sedangkan dengan sedikit disiplin, kita sebenarnya boleh mengurangkan pergerakan yang tidak perlu dan seterusnya menjimatkan perbelanjaan.
Tidak salah untuk keluar bersiar-siar, namun biarlah berpada-pada.
Rancang perjalanan dengan bijak, gabungkan beberapa urusan dalam satu perjalanan, elakkan perjalanan berulang-alik yang tidak perlu, dan utamakan keperluan berbanding kehendak.
Ini bukan sahaja menjimatkan petrol, malah masa dan tenaga.
Akhirnya, dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, setiap sen amat berharga. Mengurangkan aktiviti jalan-jalan bukan bermakna menyekat kebebasan, tetapi satu langkah bijak untuk mengurus kewangan.
ABU WAHAB
Kuala Lumpur














