PETALING JAYA – Harga sayur-sayuran di dua negeri menunjukkan peningkatan antara 20 hingga 30 peratus berikutan peningkatan kos pengangkutan ekoran kenaikan harga diesel serta cuaca panas berterusan biarpun bekalannya masih stabil serta mencukupi ketika ini.
Tinjauan Kosmo! di pasar awam dan premis jualan runcit di Johor Bahru, Johor dan Shah Alam, Selangor semalam mendapati, orang ramai dan peniaga mula merasai kenaikan harga yang ketara pelbagai jenis sayur berbanding sebelum ini.
Seorang peniaga di Johor Bahru, Ahmad Roslan, 45, berkata, antara sayur-sayuran yang mengalami kenaikan harga ialah cili merah yang sebelum ini sekitar RM10 sekilogram, namun kini mencecah RM13 hingga RM15 sekilogram.
Katanya, harga kubis pula mengalami kenaikan daripada RM3 kepada sekitar RM4 hingga RM5 sekilogram.
Menurutnya, walaupun bekalan masih stabil, harga terpaksa dinaikkan berikutan peningkatan kos pengangkutan serta bekalan daripada pembekal yang turut meningkat.
“Setakat ini bekalan tidak terjejas, tetapi harga memang naik antara 20 hingga 30 peratus bergantung kepada jenis sayur,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang pengguna, Noraini Hassan, 38, mengakui terkesan dengan kenaikan harga tersebut kerana sayur merupakan keperluan harian keluarganya.
Katanya, kenaikan harga walaupun tidak terlalu mendadak tetapi memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan terutama bagi golongan berpendapatan sederhana.
Dalam pada itu, tinjauan di sebuah pasar basah di Shah Alam mendapati harga cili hijau dan cili merah naik daripada RM9 kepada RM12 sekilogram.
Selain itu, harga halia turut meningkat RM2 daripada RM7.50 kepada RM9.50 sekilogram, manakala kacang panjang mencatat kenaikan daripada RM7 kepada RM10 sekilogram.
Seorang peniaga sayur yang mahu dikenali sebagai Amir berkata, kenaikan itu berpunca daripada tindakan pembekal menaikkan harga susulan cuaca panas serta peningkatan harga petrol dan diesel pada masa ini.
Katanya, dia terpaksa menyesuaikan harga jualan bagi memastikan perniagaan terus bertahan.
“Memang ada pelanggan mengeluh, tetapi mereka faham keadaan yang kami hadapi dan berharap cuaca panas tidak berpanjangan kerana bimbang bekalan sayur terjejas,” katanya.
“Saya berharap harga bahan api dapat diturunkan semula bagi menstabilkan harga sayur di pasaran,” jelasnya.
Di George Town, Pulau Pinang, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengulangi gesaan agar pengguna mengamalkan amalan berjimat cermat dengan menanam sayur-sayuran dan tumbuhan herba di rumah ekoran jangkaan kenaikan harga keperluan asas itu sehingga 50 peratus.
Pegawai Pendidikannya, N.V. Subbarow berkata, ini susulan kenyataan penanam sayur di Cameron Highlands yang memberi amaran mengenai lonjakan harga sayur-sayuran susulan konflik Asia Barat sehingga meningkatkan kos pengeluaran.
“Mereka menjangkakan kenaikan harga sayur sehingga 50 peratus dalam jangka pendek sebelum menurun kepada sekitar 30 peratus di atas paras semasa.
“Penanam sayur mengadu harga baja dan kos pengangkutan sudah menjadi beban besar bagi mereka,” katanya.














