KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke-93 tahun ini hadir pada waktu yang cukup signifikan.
Dalam keadaan landskap keselamatan yang semakin kompleks, tema “Kemahuan Untuk Menang: Pemangkin Keperkasaan Tentera Darat” membawa mesej yang jelas iaitu Tentera Darat bukan sekadar perlu kekal gagah dari sudut sejarah, tetapi mesti terus bersedia, berkembang dan relevan dalam menghadapi cabaran semasa.
Selama 93 tahun, Tentera Darat Malaysia berkembang daripada sebuah pasukan kecil kepada tonggak utama Angkatan Tentera Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kestabilan negara.

Namun dalam dunia hari ini, kekuatan sesebuah angkatan tidak lagi boleh diukur hanya pada usia perkhidmatan, jumlah anggota atau aset yang dimiliki.
Sebaliknya, kekuatan itu banyak ditentukan oleh sejauh mana sesebuah angkatan mampu menyesuaikan diri dengan ancaman baharu, menguasai teknologi yang relevan, memperkukuh kesiapsiagaan dan bertindak pantas dalam suasana yang semakin mencabar.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Azhan Md Othman berkata, “Kemahuan Untuk Menang bukan sekadar slogan, tetapi ia adalah tekad yang mesti hidup dalam pemikiran, latihan dan tindakan setiap warga Tentera Darat.
Menurut beliau, tema itu perlu diterjemahkan kepada pembinaan keupayaan yang lebih tangkas, lebih berwibawa dan lebih bersedia untuk mendepani realiti peperangan moden.
Dalam erti kata lain, semangat untuk menang tidak boleh berhenti pada kata-kata, tetapi mesti dizahirkan melalui latihan, kesiapsiagaan, pemodenan dan keupayaan bertindak secara berkesan dalam apa jua keadaan.
“Hakikatnya, ancaman keselamatan hari ini jauh berbeza berbanding dahulu. Selain ancaman konvensional, negara juga berdepan ancaman asimetrik, ancaman hibrid, unsur bukan tradisional, peperangan maklumat dan perkembangan teknologi yang mengubah corak konflik semasa.
Dunia kini menyaksikan bagaimana penggunaan dron, sistem tanpa pemandu, serangan berketepatan tinggi, peperangan elektronik dan unsur siber semakin mempengaruhi keberkesanan operasi di medan.

Konflik semasa membuktikan bahawa teknologi seperti ini tidak lagi menjadi aspek sokongan, sebaliknya sudah menjadi antara faktor utama yang menentukan kelebihan di lapangan,”katanya kepada Kosmo!.
Mengulas lanjut, Azhan berkata, Tentera Darat tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan lama semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu terus memperkasa keupayaan operasi, latihan, logistik, mobiliti dan penggunaan teknologi agar kekal relevan dalam mendepani cabaran masa hadapan.
“Medan cabaran hari ini semakin berubah. Sebab itu Tentera Darat tidak boleh hanya bergantung pada sejarah, tetapi mesti terus menyesuaikan diri, menguasai keupayaan baharu dan memperkukuh kesiapsiagaan untuk mempertahankan negara,”tegasnya.
Kenyataan itu cukup jelas menggambarkan bahawa kemenangan pada era ini bukan hanya bergantung kepada kekuatan fizikal atau keberanian anggota semata-mata.
Ia juga bergantung kepada kemampuan untuk melihat ke hadapan, menilai ancaman dengan tepat dan membina keupayaan yang sesuai dengan tuntutan zaman.
Dalam konteks itu, Tentera Darat sedang bergerak ke arah pembinaan angkatan yang lebih anjal dan berdaya tahan.
Penggunaan dron, termasuk bagi tujuan risikan, pemantauan, peningkatan situational awareness dan sokongan kepada elemen tempur, semakin menjadi sebahagian daripada keperluan operasi semasa.
Keperluan terhadap sistem anti-dron juga semakin penting berdasarkan perkembangan konflik global yang memperlihatkan ancaman nyata daripada platform tanpa pemandu.
Pada masa sama kata Azhan, latihan berkaitan pengendalian dron terus diperkukuh secara berfasa melibatkan pelbagai elemen seperti infantri, risik dan artileri.
Ini menunjukkan bahawa penggunaan teknologi tidak lagi dilihat sebagai elemen tambahan, tetapi sudah menjadi pengganda keupayaan kepada ketumbukan Tentera Darat.
Selain itu tambahnya, pemodenan aset terus diberi perhatian bagi memastikan keupayaan Tentera Darat kekal kredibel.
Antara pendekatan yang diambil ialah pelaksanaan Life Extension Programme (LEP) terhadap aset-aset tertentu bagi memanjangkan jangka hayat perkhidmatan dan meningkatkan keupayaan sistem sedia ada.

“Pendekatan ini penting kerana ia membolehkan aset terus relevan dengan kehendak operasi semasa tanpa menanggung kos setinggi perolehan platform baharu sepenuhnya,”ujar Azhan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Tentera Darat juga dijangka menerima aset baharu untuk Pasukan Udara Tentera Darat seawal tahun 2027, di samping langkah menambah bilangan helikopter utiliti tempur yang akan terus diberi perhatian.
Jelasnya, usaha pemodenan itu turut diperkuatkan melalui perolehan sistem artileri Self-Propelled Howitzer 155mm, yang dijangka meningkatkan lagi keupayaan tembakan sokongan moden kepada ketumbukan Tentera Darat.
“Semua ini memperlihatkan bahawa “Kemahuan Untuk Menang” bukan semangat yang bersifat abstrak. Ia sedang diterjemahkan secara nyata melalui transformasi keupayaan, penyesuaian doktrin, pengukuhan latihan, pemodenan aset dan kesiapsiagaan yang lebih tersusun.
“Ringkasnya, kemenangan tidak lahir daripada slogan, tetapi daripada keupayaan yang dibina secara berterusan dan berpandukan hala tuju yang jelas.
“Namun begitu, kekuatan sebenar Tentera Darat tidak pernah bergantung kepada aset dan sistem semata-mata. Hakikatnya, angkatan ini dibina oleh manusia yang sentiasa memikul amanah besar dalam pelbagai keadaan mencabar.
“Mereka bertugas di sempadan, di kawasan terpencil, di lokasi yang sukar diakses dan dalam situasi yang menuntut ketahanan fizikal serta mental yang tinggi,”katanya.
Menurut Azhan, sambutan ulang tahun ke-93 ini juga wajar menjadi medan penghargaan kepada anggota yang sedang berkhidmat, para veteran, mereka yang tercedera dan mereka yang telah gugur ketika melaksanakan tugas.
Pengorbanan mereka menjadi sebahagian daripada asas kekuatan Tentera Darat hari ini, manakala jasa mereka terus mengingatkan rakyat bahawa keamanan negara bukan datang tanpa harga.
“Dalam masa sama, keluarga anggota juga memainkan peranan yang sangat besar dalam menyokong kekuatan moral dan ketahanan warga Tentera Darat.
“Mereka memahami tuntutan perkhidmatan, menanggung kerisauan dan menyesuaikan kehidupan dengan keperluan tugas demi memastikan anggota dapat terus melaksanakan amanah dengan sebaiknya,”ujar beliau.

Panglima Tentera Darat turut menegaskan, “Di sebalik keupayaan Tentera Darat, ada pengorbanan anggota yang sedang berkhidmat, jasa para veteran, mereka yang tercedera, yang telah gugur, serta keluarga yang sentiasa teguh berdiri bersama perjuangan ini”.
Bagi rakyat, mesej sambutan kali ini amat jelas, Tentera Darat bukan sekadar sebuah institusi yang diraikan pada ulang tahunnya, tetapi sebuah angkatan yang terus diperkasa agar negara sentiasa mempunyai benteng yang diyakini.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, soal pertahanan tidak boleh dipandang ringan, dan usaha membina angkatan yang kredibel, responsif serta bersedia perlu terus menjadi keutamaan.
Menjelang usia satu abad, cabaran Tentera Darat pasti akan terus berkembang. Namun ulang tahun ke-93 ini membawa isyarat bahawa perkhidmatan itu tidak sekadar menoleh ke belakang dengan rasa bangga, sebaliknya terus melangkah ke hadapan dengan keupayaan, kesiapsiagaan dan hala tuju yang lebih kukuh.
Dalam makna itulah, tema “Kemahuan Untuk Menang: Pemangkin Keperkasaan Tentera Darat” wajar dilihat bukan sahaja sebagai teras sambutan, tetapi sebagai seruan untuk terus memperkuatkan Tentera Darat Malaysia agar kekal relevan, kredibel dan bersedia mempertahankan negara pada setiap masa.
Tentera Darat Malaysia turut menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyertai Army Run 2026 sempena Sambutan Hari Tentera Darat Ke-93 yang akan diadakan pada 9 Mei 2026 bertempat di Dataran Wawasan, Putrajaya.-KOSMO! ONLINE














