fbpx
MOHAMAD NASIR berada di khemah yang dijadikan sebagai bilik tempat tidur di rumahnya yang musnah akibat letupan paip gas Putra Heights di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong. - FARIZ RUSADIO

Setahun tragedi letupan Putra Heights

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUCHONG – Setahun berlalu sejak dentuman kuat letupan paip gas di Putra Heights, Su­bang Jaya, dekat sini pada Syawal kedua telah memusnahkan segalanya, namun bagi sebahagian mangsa yang tinggal kini hanya timbunan kenangan yang cuba dikutip satu persatu daripada sisa kebakaran.

Seorang warga emas dari Kampung Kuala Sungai Baru, di sini masih setia kembali ke tapak rumahnya hampir setiap hari, bukan untuk membina semula tetapi sekadar membersihkan apa yang masih berbaki daripada kehidupan lamanya.

Rumah yang suatu ketika dahulu dibina sedikit demi sedikit selama hampir 20 tahun itu menjadi saksi jerih perih Mohamad Nasir Ab. Hamid, 70, membesarkan anak-anak sehingga akhirnya mampu menampung sebuah keluarga besar.

“Kini, semuanya hanya tinggal rangka dan sisa. Saya bina rumah ini hasil tangan saya sendiri dari tapak hingga ikat batu bata. Itu yang jadi memori, kenangan itu sangat kuat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurutnya, rumah itu bukan sekadar struktur batu dan kayu, tetapi hasil titik peluh yang dikumpul bertahun-tahun demi memastikan anak-anak mempunyai tempat berteduh.

“Saya buat sikit-sikit. Bila ada duit, beli simen, beli pasir, lama-lama siap juga. Anak-anak semua membesar di sini. Namun, sekelip mata segalanya musnah apabila letupan berlaku pada hari kedua Aidilfitri tahun lalu.

“Bukan sahaja rumah, malah persiapan raya, barang keperluan, kenangan keluarga habis hangus tanpa sempat diselamatkan. Duit, barang anak, semua tidak ada,” ujarnya.

MOHAMAD NASIR menyusun peralatan untuk membaik pulih rumahnya yang musnah akibat letupan paip gas Putra Heights (gambar kecil) di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong. – FARIZ RUSADIO

Katanya, ketika ini setiap kali melangkah ke tapak rumah itu, yang mampu dilakukannya ha­nyalah mengemas dan menyusun kembali sisa yang tertinggal.

“Ada zink lama dikumpul semula, batu bata disusun kembali, seolah-olah cuba menyatukan semula serpihan kenangan yang tidak mungkin kembali seperti dahulu. Saya lebih selesa duduk di rumah yang hangus ini. Ada khemah, ada tempat kecil. Saya tak sampai hati nak tinggalkan terus (rumah ini),” jelasnya.

Lebih memilukan katanya, suasana Aidilfitri yang dahulu meriah dengan gelak tawa anak cucu kini hanya tinggal ingatan.

“Malam sebelum kejadian, kami bakar lemang, masak rendang. Semua balik berkumpul. Raya kedua semua berubah huru-hara. Jadi raya kali ini saya bersama keluarga lebih memilih untuk sambut secara sederhana.

“Walaupun masa berlalu, kesan emosi tragedi itu masih belum hilang sepenuhnya. Memang sakit bila tengok balik (rumah musnah). Tapi kita kena terima. Tak boleh nak buat apa,” katanya.

Bagi Mohamad Nasir, rumah itu mungkin sudah tiada, namun kenangan yang dibina selama dua dekad tidak akan padam.

Pada 1 April 2025, susulan letupan paip gas di Putra Heights mengakibatkan ratusan penduduk hilang tempat berteduh sekelip mata.

Sebanyak 81 rumah dilaporkan musnah sepenuhnya de­ngan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, selain 81 lagi separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar dalam insiden berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI