fbpx
Orang ramai mula memenuhi terminal untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri di KLIA2, Sepang semalam.– FAISOL MUSTAFA

TBS, KLIA2 dah macam pasar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suasana di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang dan platform terminal bas utama di ibu negara seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras mula sesak dengan orang ramai yang pulang awal ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Rata-rata yang ditemui memaklumkan, mereka membuat perjalanan awal ke kampung bagi mengelakkan berlalu kesesakan di saat-saat akhir.

Tinjauan di KLIA2 mendapati, ia mula sesak dengan kehadiran anak perantau yang teruja untuk pulang bertemu keluarga tersa­yang di kampung.

Antara penerbangan domestik yang menjadi pilihan dan menunjukkan peningkatan aliran penumpang termasuk laluan ke Kota Bharu, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah.

Seorang pekerja swasta, Farah Awang Kechik, 34, berkata, dia mengambil keputusan pulang ke Kota Bharu lebih awal menaiki pesawat berikutan tidak sanggup berdepan kesesakan jalan raya mencecah belasan jam.

“Memandangkan saya mempunyai anak kecil, kasihan jika perlu menghadap kesesakan jalan raya yang lama.

“Jadi, antara pilihan terbaik ialah pulang menaiki pesawat meskipun harga tiket penerba­ngan sedikit mahal,” katanya kepada ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi penumpang yang pulang ke Kota Kinabalu, Sabah, Khalid Tony,39, berkata, dia dan keluarga mengambil keputusan pulang lebih awal bagi membo­lehkan mempunyai lebih masa berada di kampung.

“Saya bimbang jika pulang pada hari-hari terakhir Ramadan, suasana di KLIA2 akan bertambah sesak.

“Jadi, saya dan keluarga memilih pulang seminggu lebih awal bagi memastikan perjalanan pulang ke kampung lebih tenang,” katanya.

Di TBS, Cheras, orang ramai mula memenuhi kawasan tersebut sejak awal pagi dan mereka dilihat membawa pelbagai barangan termasuk beg pakaian dan kotak hadiah, selain ada yang hadir bersama ahli keluarga bagi menghantar orang tersayang pulang beraya.

Keadaan menjadi semakin sibuk menjelang tengah hari apabila jadual perjalanan bas bertambah kerap, menyebabkan barisan panjang terbentuk di kaunter tiket dan pintu pelepasan.

Rata-rata penumpang meluahkan rasa teruja untuk pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga lebih awal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN