fbpx
RINDUKAN momen bersalaman di pagi hari raya dengan keluarga dan sanak saudara membuatkannya Baby Shima nekad tidak mengambil tawaran persembahan menjelang Syawal.

‘Dua-tiga tahun raya di Jakarta, tahun ini balik JB’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH beberapa tahun meraikan 1 Syawal di Indonesia berikutan tuntutan kerja, lebaran kali ini menyuntik keistimewaan buat penyanyi, Baby Shima yang bakal berkumpul bersama seisi keluarga pada pagi raya.

Rindu bersalaman memohon ampun sambil mengucup tangan orang tua, momen penuh syahdu itu ingin kembali dirasai selepas lama mencari rezeki di perantauan.

Katanya, walaupun kerap pulang ke kampung ketika sebahagian besar masa diperuntukkan di Jakarta, suasana pagi Syawal sangat berbeza tanpa ahli keluarga di sisi.

“Waktu paling sibuk saya adalah pada hari raya kerana banyak tawaran di sana membabitkan program siaran langsung televisyen serta majlis rumah terbuka.

“Tahun lepas pun saya beraya di Jakarta, tetapi Syawal ini saya pilih untuk sambut di tanah air, balik kampung di Johor Bahru jumpa sanak-saudara,” katanya.

Akui penyanyi lagu Masuk Lagi itu, demi memenuhi hajat menyambut Aidifitri di tanah air, sebelum Ramadan lagi segala jadual tugasan disusun sebaik mungkin.

“Saya bersyukur sepanjang saya bekerja di Indonesia, keluarga merupakan tulang belakang kuat memberikan sokongan begitu juga peminat.

“Mujur famili faham saya tiada di samping mereka di pagi raya kerana memenuhi tuntutan kerja tetapi panggilan video biasanya menjadi pengubat rindu.

“Kebiasaannya sebelum keluar ke mana-mana lokasi saya hubungi dulu keluarga mohon ampun maaf. Jadi pastinya saya tak sabar nak beraya tahun ini,” ujarnya.

Belanja sederhana

Begitupun, Baby Shima mengakui tetap bersederhana dalam berbelanja untuk diri sendiri cukup dengan sepasang dua baju kurung untuk digayakan di pagi Syawal.

“Ada beberapa helai baju kurung yang baru saya pakai sekali untuk majlis berbuka puasa, cuma mungkin belanja lebih buat duit raya untuk anak buah serta cucu saudara.

“Famili saya besar, dengan anak saudara yang rasanya lebih 20 orang. Ada juga yang sudah berkahwin. Kiranya saya punya cucu saudara. Cukup meriah kalau berkumpul beramai-ramai.

“Momen berbual, bergurau senda dengan mereka yang saya tunggu-tunggu. Maklum sahaja saya jarang dapat balik kampung. Cuma tahun ini Ramadan saya ada di Kuala Lumpur, dapatlah berbuka puasa bersama-sama,” katanya.

Hanya selepas minggu kedua Syawal pemilik nama lengkap Nor Ashima Ramli mula kembali menyambung tugas termasuk projek rakaman lagu baharu di Malaysia dan Indonesia.

Katanya, tahun 2026 bakal menjadi fasa baharu dalam perjalanan seninya apabila dia mahu memberi lebih fokus kepada karya yang membawa mesej lebih jelas dan mudah difahami pendengar.

“Bukan sekadar nak produktif, tapi saya nak orang faham apa yang saya nak sampaikan melalui lagu,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN