fbpx
BARIZAH berharap gadis dan wanita plus size berani untuk mencuba gaya baharu dan tampil yakin menyambut lebaran.

Puteri Nurul Barizah angkat keyakinan gadis ‘plus size’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEBERAPA hari sahaja lagi, kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri yang sememangnya cukup dinanti-nantikan semua umat Islam setelah berpuasa selama sebulan.

Di saat ramai sibuk membuat persiapan terakhir menjelang Syawal, seorang gadis tampil membawa mesej keyakinan diri dan keterangkuman fesyen menerusi platform media sosial.

Puteri Nurul Barizah Rizuan yang popular di platform TikTok mencuri perhatian ramai apabila menghasilkan siri kandungan khas Aidilfitri berjudul ‘Ba’s Raya Fitting Room’ yang menampilkan dirinya mencuba pelbagai rekaan baju raya daripada jenama tempatan Malaysia.

Menariknya, kandungan yang dimuat naiknya sedikit berbeza kerana semuanya dari perspektif seorang gadis bersaiz lebih besar atau plus.

Menerusi video-video ringkas tetapi penuh pesona itu, Puteri Nurul Barizah atau lebih dikenali sebagai Barizah bukan sekadar memperagakan busana, sebaliknya berkongsi pengalaman jujur tentang potongan, keselesaan dan kesesuaian setiap rekaan untuk tubuh yang jarang diwakili dalam dunia fesyen arus perdana.

Dengan gaya bersahaja dan keperibadian ceria, setiap episod ‘Ba’s Raya Fitting Room’ cukup dinanti-nantikan pengikut siri itu kerana ia menjadi ruang yang meraikan kepelbagaian bentuk badan sambil memberi inspirasi kepada wanita lain untuk berasa yakin dengan pilihan fesyen mereka terutama menjelang Aidilfitri.

Lebih daripada sekadar mencuba pakaian, siri tersebut juga secara tidak langsung membuka perbualan lebih luas tentang keterangkuman dalam industri fesyen tempatan bahawa keindahan dan gaya tidak seharusnya terhad kepada satu saiz sahaja.

Berkongsi dengan K-Remaja, gadis berusia 24 tahun itu berkata, pada asalnya, dia tidak merancang untuk mengadakan siri di platform TikTok miliknya.

“Namun, idea tersebut tercetus secara spontan sewaktu saya sedang mencuba beberapa helai pakaian di dalam bilik persalinan sebuah pusat beli-belah AEON, sebelum Ramadan.

“Ketika itu, saya terfikir bahawa kebanyakan content creators biasanya berkongsi baju raya yang sudah mereka beli atau buat ‘haul’, tetapi pengalaman sebenar mencuba baju di fitting room mempunyai perasaan yang sangat berbeza,” katanya.

Kongsi Barizah, daripada situlah bermulanya idea untuk menghasilkan satu siri yang mendokumentasikan perjalanan dirinya mencari baju raya secara real-time di bilik persalinan.

“Saya mahu orang yang menonton dapat merasai pengalaman tersebut bersama saya, dari saat mencuba, menilai sama ada baju itu muat atau tidak, sehingga mencari pilihan yang paling sesuai untuk digayakan di Aidilfitri nanti,” katanya.

Ternyata, ramai pengguna media sosial yang sukakan kandungan Barizah dan ada antara videonya yang mencecah lebih 100,000 tontonan.

Fenomena tersebut juga mencerminkan perubahan dalam industri fesyen tempatan yang semakin memberi perhatian kepada kepelbagaian bentuk badan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak jenama tempatan mula memperkenalkan koleksi bersaiz lebih besar, termasuk bagi koleksi Aidilfitri yang sebelum ini sering tertumpu kepada saiz standard sahaja.

Di ruangan komen, ramai pengikut memuji keberanian Barizah dan mengakui bahawa kandungan tersebut membantu mereka membuat pilihan baju raya dengan lebih yakin, selain menghargai kejujuran yang jarang dilihat dalam ulasan fesyen di media sosial.

“Saya amat sukakan siri ini, saya nak lagi,” komen seorang pengguna TikTok.

“Saya harap awak tahu saya mempunyai obsesi terhadap siri awak mencuba baju raya di fitting room ini, sangat membantu saya untuk mencari baju Raya,” komen seorang lagi pengguna TikTok.

Biarpun bertubuh plus size, Barizah sering beraksi dengan penuh yakin dalam perkongsiannya di media sosial.

Kandungan Barizah juga cukup jujur apabila dia berkongsi sisi cabaran sebenar wanita plus size dalam mencari baju raya apabila berdepan masalah kain baju kurung yang tidak boleh dizip atau baju dengan label saiz XL, namun ukurannya terlalu kecil persis baju bersaiz M.

Kongsi anak kelahiran Kuala Lumpur itu, sebagai gadis plus size, pengalaman mencari baju raya boleh jadi cukup mencabar.

Ini kerana berdasarkan pengalaman peribadinya, kebanyakan jenama masih mempunyai pilihan saiz yang terhad, selain ukuran yang tidak konsisten antara satu jenama dengan jenama yang lain.

“Selain itu, membeli baju secara dalam talian juga kadangkala menimbulkan keraguan kerana ukuran yang tertera tidak semestinya sama apabila dipakai pada badan sebenar.

“Sebab itu ramai wanita plus size lebih selesa mencuba baju secara fizikal di butik atau pusat membeli-belah.

“Namun begitu, saya juga melihat perkembangan yang positif pada tahun 2026, apabila semakin banyak jenama tempatan yang mula menyediakan variasi saiz yang lebih luas, malah ada yang menawarkan saiz sehingga 6XL,” katanya yang lazim memakai XL atau XXL.

Barizah berkata, dia merasakan penting untuk untuk ada lebih banyak representasi wanita plus size dalam kandungan fesyen media sosial, khususnya pada musim raya.

“Pada pandangan saya, ramai wanita sebenarnya mencari hubungan atau connection dengan seseorang yang mereka boleh relate.

“Oleh itu, representasi wanita plus size dalam kandungan fesyen adalah sangat penting, terutamanya menjelang musim raya.

“Apabila wanita plus size melihat individu yang mempunyai bentuk badan seperti mereka ditampilkan dalam kempen fesyen atau promosi baju raya, ia boleh meningkatkan keyakinan diri mereka kerana mereka akan rasa lebih dihargai dan diwakili dalam industri fesyen,” katanya.

Sepanjang menghasilkan siri ‘Ba’s Raya Fitting Room’, Barizah turut berpeluang mencuba pelbagai rekaan daripada jenama tempatan yang menawarkan variasi saiz lebih luas kepada pelanggan.

Selepas mencuba pelbagai jenama tempatan, Barizah berkata dia mendapati jenama Hani Mokhta, AEON (PUTERI & Plus Collection), Bayu Somerset, Whimsigirl, Moon & Stella, Calaqisya dan Poplook adalah antara yang menawarkan pilihan plus size yang baik.

“Namun jika saya perlu memilih satu jenama yang paling menonjol, saya akan memilih AEON. Selain mempromosikan inklusiviti dari segi saiz, harga pakaian mereka juga sangat berpatutan, sekitar RM89 hingga RM289.

“Dalam keadaan di mana banyak jenama mengeluarkan koleksi raya dengan harga yang agak tinggi, saya sangat menghargai usaha AEON yang masih menawarkan rekaan cantik dengan harga yang lebih mampu milik serta variasi saiz yang lebih luas,” katanya.

Berbaki beberapa hari lagi sebelum Syawal, Barizah meninggalkan pesan buat wanita plus size yang masih mencari baju raya atau berasa kurang yakin dengan pilihan mereka bahawa mereka juga berhak untuk tampil cantik di pagi Syawal.

“Fesyen tidak sepatutnya terhad kepada satu gaya sahaja. Saya galakkan wanita untuk meneroka gaya fesyen masing-masing dan memahami bentuk badan sendiri supaya lebih mudah memilih pakaian yang sesuai.

“Selain itu, jangan takut untuk mencuba style baju, warna atau rekaan yang berbeza. Kadang-kadang kita terlalu cepat berfikir bahawa sesuatu gaya tidak sesuai untuk badan kita, sedangkan apabila dicuba, ia sebenarnya boleh nampak sangat cantik dan menyerlahkan keunikan diri kita.

“Yang paling penting, pilih pakaian yang membuatkan kita rasa selesa dan yakin. Apabila kita selesa dengan apa yang kita pakai, keyakinan itu akan terpancar secara semula jadi.

“Saiz badan kita tidak sepatutnya menjadi halangan untuk kita merasa yakin dan cantik ketika menyambut lebaran,” katanya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN