Ketibaan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir tiba dan sudah tentu ramai yang mula mengatur perancangan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.
Umpama ‘tradisi’ setiap musim perayaan, jalan raya dijangka sesak dengan aliran jumlah kenderaan yang tinggi, terutamanya di lebuh raya-lebuh raya utama.
Lebuh Raya Pantai Timur seperti biasa pastinya mendahului ‘carta’, dengan keluhan dan perkongsian pengguna yang bakal membanjiri media sosial dalam beberapa hari sahaja lagi.
Namun sesesak mana pun laluan dipilih, para perantau tidak pernah serik kerana momen perjalanan balik kampung sudah menjadi rutin saban tahun ketika pulang beraya.
Bagaimanapun, kesan dan kesukaran menghadapi kesesakan teruk boleh diminimumkan dengan persediaan rapi, sekali gus memastikan mood raya terus membara.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya Serta Sukan Permotoran Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, walaupun perjalanan pada waktu puncak sering mencabar, perancangan yang baik membantu pemandu mengurangkan risiko stres dan kemalangan.
“Setiap kali musim perayaan, warga kota akan menghadapi kesesakan jalan raya yang teruk sehingga ada melebihi 10 jam, terutamanya bagi mereka yang menuju ke Pantai Timur dan kawasan Utara Semenanjung.
“Pengurusan bekalan dan persiapan yang baik membantu mengurangkan tekanan emosi terutama bagi keluarga yang membawa anak kecil atau warga emas,” katanya.
Beliau berkata, PPKJR menyarankan supaya semua pengguna jalan raya lebih bertoleransi serta tidak terburu-buru untuk sampai ke destinasi.
Pemandu juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal serta mempertimbangkan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan selain menyemak keadaan semasa trafik sebelum memulakan perjalanan.
“Pastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan dilengkapi peralatan asas, memandu dengan berdisiplin.
“Pemandu perjalanan jauh disaran supaya berhenti berehat sekurang-kurangnya setiap dua jam di kawasan Rehat & Rawat.
“Bagi perjalanan jauh pula jelas beliau, bawa bekalan makanan ringan dan air minuman secukupnya selain ubat-ubatan terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
“Selain itu, pastikan kenderaan mempunyai petrol atau caj bateri yang mencukupi bagi kenderaan elektrik. Bertoleransi, serta tidak terburu-buru untuk sampai ke destinasi.
“Memulakan perjalanan dengan membaca doa memohon perlindungan dan keselamatan juga adalah satu amalan yang sangat digalakkan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, sikap pengguna jalan raya keseluruhannya memainkan peranan penting dalam menentukan tahap keselamatan dan kelancaran trafik.
Sebagai contoh menurutnya, memandu secara perlahan di lorong memotong (lane hogger) yang bukan sahaja menyusahkan pengguna lain, malah meningkatkan risiko kemalangan serta kesesakan.
“Selain itu, terdapat pemandu yang memotong barisan, menukar lorong secara agresif atau tidak bertoleransi terhadap pengguna lain. Sikap seperti ini perlu dielakkan demi keselamatan bersama.
“Pemandu juga perlu sentiasa peka terhadap faktor cuaca serta keadaan persekitaran jalan raya. Rancang perjalanan dengan lebih berhati-hati jika cuaca buruk dijangka berlaku,” jelasnya.














