SAUDARA PENGARANG,
Baru-baru ini sinki rumah saya tersumbat. Saya kemudian menghubungi seorang tukang paip selepas mendapatkan nombor daripada jiran setaman.
Alangkah terkejutnya saya apabila tukang paip meminta RM300 untuk menukar salur PVC dan membersihkan kotoran.
Saya tidak tahu sama ada ia harga standard tukang paip atau sebaliknya tetapi bagi saya caj yang dikenakan agak mahal.
Tanpa berlengah, saya terus mencari video bagaimana membaiki sinki tersumbat di YouTube dan media sosial lain. Selepas memahami cara membaikinya, saya terus membeli sendiri alatan yang dikehendaki di kedai barangan logam dan DIY dengan modal tidak sampai RM30.
Dengan memperuntukkan sedikit masa, saya kemudian berasa sangat gembira dan merasakan seolah menjadi ‘pakar’ apabila berjaya melakukannya sendiri dan sinki tidak lagi tersumbat.
Begitu juga dengan mesin basuh, saya baiki sendiri. Apabila valve yang menyambungkan air ke dalam tong drum mesin basuh sudah rosak, ia boleh dibaiki sendiri dengan membelinya secara online.
Benda boleh buat sendiri jika kita mengikut arahan manual dengan betul dan memasang kembali wayar pada tempatnya. Banyak saya jimat dengan mencuba sendiri.
Baru belajar,
Ampang, Selangor














