Kurang seminggu lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. 29 Ramadan tarikh lihat anak bulan. Pasti ramai telah siap sedia.
Selain baju dan kuih raya, antara perkara wajib disediakan oleh individu bekerja atau berkeluarga adalah duit raya. RM1, RM5, RM10 not yang dinanti terutamanya kanak-kanak. Seingat penulis di zaman kanak-kanak, jika dapat duit raya 50 sen gembiranya bukan kepalang.
Kecoh satu kampung beritahu rumah yang beri duit raya banyak pada rakan-rakan. Lepas satu kumpulan satu kumpulan datang. Akhirnya tuan rumah beri duit raya saja tanpa perlu hidang air atau menjamu makanan.
Jika dalam kalangan ahli keluarga, pak cik atau mak cik yang beri duit raya banyak orang itulah paling ditunggu-tunggu kepulangannya atau disayangi. Begitulah ragam kanak-kanak. Setahun sekali dapat dilihat.
Situasi yang berlaku ini masih sama sehingga kini. Malah tidak dinafikan ada kanak-kanak yang dapat duit raya sehingga empat angka, lebih dari gaji minimum.
Sepanjang hari raya, tidak kira tua atau muda momen hulur sampul raya berisi selepas sesi bermaaf-maafan menjadi momen yang paling ditunggu-tunggu dan meriah.
Namun seiring dengan peredaran zaman, nilai duit yang diberi juga bertambah, jika dahulu duit syiling kini wang kertas berwarna biru, hijau atau merah mendominasi carta. Paling best dapat warna turquoise.
Ketika ini suasana di bank-bank juga meriah apabila orang ramai perlu beratur panjang untuk menukar duit raya. Ada yang perlu berdiri sehingga empat jam.
Mahu tukar duit raya pun susah, nasib baik jika ada ahli keluarga yang bekerja di bank. Mungkin kita perlu QR.
Menyoroti media sosial, banyak hantaran menggambarkan nilai duit raya yang perlu diberi mengikut hierarki dalam keluarga atau negeri kelahiran.
Lucu dan bertuah wanita lahir di Johor layak mendapat duit raya RM1,000. Namun berbeza pula dengan anak bongsu, mereka tidak layak menerima duit raya. Entah apalah justifikasi ini, tetapi ia menyeronokkan.
Pemberian duit raya, selain diibaratkan sebagai tradisi, ramai juga menyifatkannya satu bentuk sedekah atau berkongsi rezeki dengan orang lain.
Berbahagi rezeki dengan saudara mara dan individu kurang berkemampuan sekali gus mendidik hati agar lebih peka dan bersyukur.
Seiring dengan konflik yang melanda Asia Barat pakar ekonomi menyarankan rakyat Malaysia untuk berhemah dalam berbelanja. Ini kerana jika perang berlarutan, harga minyak dan kos sara hidup akan meningkat dalam tempoh enam bulan lagi.
Kerajaan juga mengingatkan rakyat untuk berjimat dalam menguruskan kewangan. Melihat kepada perkembangan ini, belum terlambat untuk kita mulakan langkah kurangkan peruntukan duit raya.
Jika sebelum ini kita beri RM2 apa salahnya tahun ini kita hulur RM1. Jika dahulu RM10 mungkin tahun ini RM5.
Jangan rasa malu jika kita tidak dapat beri banyak. Cukuplah sekadar yang mampu, jangan terlalu mengikut trend kerana hanya anda tahu berapa jumlah yang tinggal di bank. Belum terlambat untuk berjimat.














