fbpx
Gambar kenangan terakhir Najjini bersama arwah suaminya serta anak-anak mereka ketika sesi bergambar Aidilfitri baru-baru ini.

‘Saya tak akan pakai lagi baju raya itu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Baju raya itu saya pakai sekali sahaja masa sesi bergambar. Raya nanti saya tak akan pakai lagi, saya hanya raya untuk anak-anak.”

Itu luahan sayu seorang suri rumah, Najjini Afina Ghazali, 32, selepas kehilangan suami tercinta, Koperal Muhammad Fakrullah Jamal, 32, anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu yang maut dalam kemalangan pada 6 Mac lalu.

Dalam kejadian pada pukul 4.10 pagi di Kilometer 35 Jalan Kuala Berang-Kuala Terengganu, arwah yang membonceng motosikal ditunggang seorang pegawai kanan trafik dalam perjalanan ke Ajil bagi menghadiri tugasan sebelum motosikal itu terbabas.

Lebih menyayat hati, dua hari sebelum tragedi itu, pasangan suami isteri itu sempat melakukan sesi bergambar Aidilfitri bersama dua anak mereka iaitu Muhammad Afeef Haziq, 7, dan Nur Alyysa Hilyaa, 4.

Menurut Najjini, sesi bergambar itu sebenarnya dicadangkan sendiri oleh arwah suaminya yang kelihatan begitu bersema­ngat membuat persiapan me­nyambut Aidilfitri.

“Arwah yang suruh saya tempah photoshoot (sesi bergambar). Dia juga sudah siapkan semua barang keperluan raya, termasuk pakaian kami sekeluarga.

“Malah arwah juga siap tempah ketupat supaya saya tak perlu kelam-kabut nanti. Dia kata tunggu raya sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Najjini, kali terakhir mereka bersama pada malam sebelum kejadian selepas berbuka puasa bersama keluarganya di Marang, Terengganu.

Selepas itu, katanya, arwah suaminya pulang ke rumah mereka di kuarters polis di Kuala Berang untuk memulakan syif kerja yang bermula pada pukul 12 tengah malam.

“Selepas berbuka dia balik kuarters untuk masuk kerja. Tak sangka itu kali terakhir kami jumpa,” katanya.

Menurutnya, perancangan asal mereka adalah untuk me­nyambut raya di Terengganu ke­rana arwah tidak mendapat cuti raya tahun ini.

Katanya, sebelum kejadian arwah ada berkongsi cerita pelik apabila arwah bapa mentuanya muncul dalam mimpi mengajaknya pergi melihat orang me­ninggal dunia.

Ketika itu, dia tidak menyangka kisah itu seolah-olah menjadi petanda kepada pemergian suaminya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN