PETALING JAYA – Tambang bas bagi semua perjalanan untuk balik beraya kurang dua minggu lagi naik mendadak, sekali gus memberi tekanan kewangan kepada mereka yang mahu pulang ke kampung.
Permintaan tinggi dikatakan antara punca harga tiket bas dari Lembah Klang ke Pantai Timur dan utara meningkat ketara sehingga RM120 bagi perjalanan sehala.
Tinjauan Kosmo! di platform penjualan tiket mendapati, kebanyakan tiket bagi destinasi popular seperti Kelantan dan Terengganu beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri sudah habis ditempah.
Bagi laluan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Kota Bharu, harga tiket naik lebih sekali ganda mencecah RM120 sehala bagi tarikh tiga hari sebelum Aidilfitri, berbanding RM35 hingga RM55 pada awal bulan ini bagi destinasi yang sama.
Selain itu, harga tambang bas ekspres ke Terengganu turut meningkat kepada RM70 berbanding RM49 sehala khususnya pada waktu puncak selepas pukul 10 pagi.
Bagi laluan ke utara seperti Kedah, harga tiket bas ekspres turut melonjak dengan ketara.

Sempena perayaan Aidilfitri ini, harga tiket bas bermula dari RM70 hingga RM110 untuk perjalanan sehala berbanding RM42 pada hari-hari biasa seminggu sebelum menjelang perayaan utama tersebut.
Semakan bagi destinasi ke Kuantan pula mendapati harga tiket pengangkutan awam itu dilihat terkawal iaitu RM26 sehala namun lebih 70 peratus sudah terjual kecuali waktu perjalanan awal pagi.
Seorang perantau yang mahu dikenali sebagai Amin mengakui terkejut apabila mendapati tiket bas pulang ke kampung di Kelantan yang dibelinya baru-baru ini meningkat secara mendadak.
Menurut pemuda itu, biasanya harga tiket bas ke Machang adalah RM45, namun dia terpaksa membayar sehingga RM120 bagi destinasi sama untuk perjalanan pada 20 Mac ini.
“Kalau bukan musim perayaan, harga tiket cuma RM45. Memang agak terkejut, tapi saya terpaksa beli juga walaupun harganya agak tinggi kerana itu satu-satunya pilihan yang saya ada untuk beraya bersama keluarga di kampung.
“Nak naik kapal terbang, harga tiket lagi mahal bermula RM1,200 bagi destinasi ke Kota Bharu,” katanya.
Bagi tiket pengangkutan kereta api pula, perjalanan menuju ke utara seperti Sungai Petani, Alor Setar, Ipoh dan laluan selatan seperti JB Sentral dilihat ‘habis’ terjual sejak minggu pertama Ramadan.















