APAKAH benar, dosa akan digandakan ketika bulan Ramadan sebagaimana pahala digandakan?
JAWAPAN: BULAN Ramadan mempunyai kehormatan yang sangat besar.
Nabi Muhammad SAW telah memberi amaran keras terhadap orang yang melanggar kesucian bulan ini.
Dalam satu hadis riwayat Abu Umamah al-Bahili RA, beliau meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Ketika aku sedang tidur, tiba-tiba datang kepadaku dua orang lelaki. Mereka memegang kedua-dua lenganku, lalu membawaku ke sebuah gunung yang sukar didaki.
“Mereka berkata: Naiklah. Aku berkata: Sesungguhnya aku tidak mampu. Mereka berkata: Kami akan memudahkannya untukmu. Maka aku pun naik sehingga apabila aku berada di puncak gunung itu, tiba-tiba terdengar suara jeritan yang sangat kuat. Aku bertanya: Apakah suara-suara ini?
“Mereka menjawab: Itulah pekikan penghuni neraka. Kemudian aku dibawa lagi, lalu aku melihat satu kaum yang digantung pada urat tumit mereka, pipi mereka terkoyak dan mengalir darah daripada mulut mereka.
“Aku bertanya: Siapakah mereka ini? Mereka menjawab: Mereka ialah orang-orang yang berbuka puasa sebelum tiba waktunya.” (Riwayat Ibn Khuzaimah)
Namun begitu, para ulama menjelaskan bahawa walaupun Ramadan mempunyai kehormatan yang besar, dosa tidak digandakan dari segi bilangannya, sama ada dalam Ramadan atau selainnya.
Justeru ia bermaksud yang digandakan hanyalah pahala.
Hal ini berdasarkan firman Allah Taala: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).” (Surah al-An‘am, 160)
Begitu juga disebutkan dalam satu hadis Qudsi bahawa Allah SWT mencatatkan kebaikan dan keburukan.
Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka ditulis baginya satu dosa sahaja, bukan digandakan.
Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa dosa tidak digandakan dari sudut bilangannya tetapi ia boleh menjadi lebih berat atau diperbesarkan dosanya kerana kemuliaan masa atau tempat.
Sebagai contoh, dosa dalam bulan-bulan haram atau di Tanah Haram adalah lebih besar kesalahannya berbanding di tempat dan waktu biasa.
Meskipun terdapat riwayat yang menyebut bahawa dosa digandakan dalam Ramadan, namun para ulama seperti Ibn Rajab dan Ibn al-Jawzi menegaskan bahawa hadis tersebut tidak sahih.
Sebaliknya, pahala memang digandakan, lebih-lebih lagi dalam Ramadan.
Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan anak Adam digandakan, satu kebaikan dengan sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda. Allah berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya.” (Riwayat Muslim)
Ini menunjukkan bahawa pahala, khususnya puasa akan berlipat ganda tanpa had tertentu yang diketahui manusia.
Para ulama seperti Ibn al-Qayyim rhm menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dosa menjadi besar di tempat atau waktu mulia adalah dari sudut kualiti dan beratnya dosa, bukan bilangannya.
Maksudnya, satu dosa tetap dibalas dengan satu dosa tetapi kesalahannya lebih berat dan akibatnya lebih besar kerana dilakukan pada masa atau tempat mulia.
Kesimpulannya, pahala digandakan dalam Ramadan dan pada waktu serta tempat yang mulia.
Kedua, dosa tidak digandakan dari segi bilangan tetapi menjadi lebih berat dan besar kesalahannya apabila dilakukan dalam bulan Ramadan.
Oleh itu, seorang Muslim hendaklah bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi maksiat kerana melanggar kesucian Ramadan adalah dosa yang sangat berat.














