KUALA LUMPUR – Ketika orang lain sibuk berpuasa, seorang guru muda terpaksa mengambil keputusan berat untuk memotong kaki kirinya sehingga paras atas lutut selepas hampir tiga tahun menanggung kesakitan ‘mencucuk-cucuk’ akibat ketumbuhan giant cell tumor (GCT) pada 7 Ramadan lalu.
Menurut Muhammad Asyraf Isham, 30, pada 25 Februari lalu, dia selamat menjalani pembedahan amputasi kaki kirinya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Daripada saya sakit di hari tua, lebih baik saya sakit ketika muda. Sebenarnya saya sendiri yang memilih untuk dipotong kaki kiri ini selepas lebih dua tahun menanggung kesakitan.
“Saya tidak boleh tidur malam sebab sakit. Satu malam saya istikharah, fikir masak-masak. Lepas subuh, saya beritahu isteri, Nurul Syazwani Mohd Zid, 31, saya nak potong kaki,” kongsinya kepada Kosmo! kelmarin.
Akhbar ini pada 1 Mac lalu melaporkan, Muhammad Asyraf atau menggunakan nama Achong Tan di Instagram berkongsi keputusan untuk mengamputasi kaki kirinya yang dipasang titanium aloi dari bahagian paha sehingga hampir ke buku lali.
Kongsinya, keputusan dibuat bukan secara terburu-buru, sebaliknya selepas menimbang pilihan rawatan lain yang memerlukan pembedahan berulang selama enam bulan hingga setahun dengan risiko jangkitan berlaku.
“Doktor memang cuba pujuk supaya saya kekalkan kaki. Tapi saya fikir, kalau potong sekarang, saya masih muda, boleh belajar pakai kaki palsu, boleh biasakan diri lebih awal. Kalau tunggu tua, mungkin lagi susah,” katanya.
Meskipun keputusan yang diambil itu amat berat, dia mengakui kehidupannya kini lebih tenang.
“Selepas pembedahan sakit hilang 100 peratus. Sekarang ini saya rasa lebih lega dan tenang. Soal kaki palsu kosnya sangat tinggi hingga cecah puluhan ribu ringgit.
“Doktor maklum kaki saya perlukan tempoh kira-kira enam bulan untuk membentuk dengan baik agar sesuai pakai kaki palsu. Peringkat awal, saya perlu lakukan fisioterapi,” katanya.
Walaupun Aidilfitri tahun ini menjadi Syawal pertama tanpa kaki kiri, dia mengakui semangatnya tidak pernah luntur.
“Raya tetap raya. Cuma bezanya fizikal saya saja. Mental saya dah bersedia lama. Soal kerjaya, jika keadaan saya sudah diizinkan untuk bekerja, saya pasti akan balik mengajar dengan semangat baharu,” ujarnya tenang.
Menurutnya, simptom awal bermula pada awal 2023 apabila dia berasa sakit pada kaki kiri selepas berlari menuruni tangga.
“Tarikh saya disahkan menghidap tumor itu jatuh pada hari sama saya diijab kabul dengan isteri pada 29 Julai 2023. Pagi nikah, petang kami ke Sunway Medical Centre (SMC) ambil keputusan biopsi. Masa itu doktor beritahu ada ketumbuhan agresif pada tulang kaki kiri saya,” katanya.
Pada 4 Ogos 2023, dia menjalani pembedahan selama 14 jam di SMC bagi membuang ketumbuhan dan sebahagian tulang yang telah rosak sebelum dipasang besi sokongan secara kekal.
“Awal Disember 2023, saya sekali lagi dimasukkan ke HKL akibat jangkitan kuman serius pada kaki berkenaan. Sepanjang 2024, kaki saya kerap bengkak, panas dan sakit. Ada masa saya boleh berjalan, ada masa langsung tak boleh pijak. Saya mengajar sambil tahan sakit,” katanya.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Jinjang itu berkata, bermula hujung tahun lalu, keadaan kakinya semakin parah sehingga dia terpaksa menggunakan dua tongkat dan kaki kirinya langsung tidak dapat memijak.














