BAGI mengisi waktu sepanjang cuti persekolahan, saya mengambil peluang membawa keluarga bercuti di Tasik Kenyir, Terengganu.
Walaupun mengambil masa selama sembilan jam memandu dari Johor Bahru ke Kuala Berang, saya tidak berasa bosan kerana minda sentiasa memikirkan pengalaman yang bakal diraih.
Tujuan trip ini adalah untuk memberi pendedahan kepada anak saya iaitu Fahim yang baru sahaja habis menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini juga merupakan hadiah kepadanya bagi merasai kelainan memancing di tasik terbesar buatan manusia di Asia Tenggara itu.
Walaupun saya sendiri pernah mengemudi bot di sini, namun pada trip ini saya memilih untuk menggunakan khidmat jurupandu tempatan yang pastinya lebih berpengalaman seperti Tekong Syed.
Pengalaman bermula
Tekong Syed mengambil kami di Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) Tasik Kenyir, tempat kami menginap sepanjang berada di sana.

Betapa luasnya tasik ini, biarpun dengan menggunakan bot gentian kaca sepanjang 13 kaki dan dipacu dengan enjin 40 kuasa kuda (hp), namun kami masih perlu menempuh perjalanan lebih satu jam untuk ke lokasi pertama.
Setiba di lokasi, lontaran demi lontaran gewang dilakukan sambil tekong mengemudi bot di segenap suak yang berpotensi.
Kami juga menemui beberapa kelompok anak toman, namun tiada sambaran diterima. Setelah melepasi waktu tengah hari dan air mula berkocak akibat angin semakin kuat, tekong memutuskan untuk berpindah ke kawasan lain yang lebih jauh.
Di sini barulah gewang permukaan yang dimainkan oleh Fahim disambar rakus seekor toman ‘bujang’, namun ikan berjaya meloloskan diri.
Fahim terkejut dan menggeletar tangannya kerana sambaran dan perlawanan singkat tersebut merupakan pengalaman kali pertama dia menghadapi situasi sedemikian.
Lewat petang itu, barulah Fahim berjaya menawan seekor toman, sekali gus membuatkan impian saya untuk menjebakkan anak dalam bidang pancingan rekreasi ini menjadi realiti.














