PETALING JAYA – Tindakan segelintir pihak yang membudayakan aktiviti mengejutkan orang ramai untuk bersahur secara beramai-ramai seperti di negara jiran berpotensi mengganggu ketenteraman awam.
Pendakwah, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle terpanggil mengulas mengenai isu tersebut setelah terkesan satu video memaparkan orang ramai memukul gendang sambil berselawat dipercayai berlaku di Malaysia.
Kejadian tersebut yang dipercayai berlaku di Balakong, Kajang difahamkan berlaku untuk mengejutkan orang ramai yang tinggal di apartmen berkenaan untuk bangun sahur.
Bagaimanapun, Muhamad Rozaimi berkata, budaya sedemikian seharusnya tidak perlu dikembangkan ke negara ini.
Menurut beliau, tidak semua individu diwajibkan untuk bangun bersahur, termasuk wanita yang haid atau nifas, kanak-kanak kecil serta ibu bapa yang mempunyai bayi dan memerlukan rehat secukupnya.
“Kalau kita lakukan perkara ini, kita akan mengganggu mereka bahkan di dalam
negara kita juga ada orang-orang yang bukan Islam yang mungkin mereka akan tiba-tiba benci kepada Islam.
“Sedangkan Islam tak menyuruh perkara ini untuk dilakukan” katanya dalam satu video dimuat naik di Facebook.
Muhamad Rozaimi yang juga Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) berkata berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan azan yang dilaungkan sebanyak dua kali pada waktu subuh, iaitu azan pertama sebelum masuk waktu subuh sebagai peringatan dan azan kedua apabila masuk waktu sebenar.
“Tetapi jangan dibudayakan perkara yang tidak disuruh oleh agama,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau turut memetik pandangan ulama, Ibn Jawzi yang pernah mengkritik amalan membaca al-Quran di menara tinggi pada waktu malam kerana dikhuatiri mengganggu orang yang sedang tidur.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar bersatu hati menolak amalan yang boleh menimbulkan gangguan atau salah faham terhadap Islam, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.
“Jadi, saya mengharapkan agar kita semua bersatu hati untuk kita membantah perkara
ini dan tidak perlu untuk dilakukan dan dikembangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@drrozaimiramleofficialVideo ini bukan di Indonesia, tapi berlaku di negara kita. Dulu kita selalu tengok perkara ini berlaku di negara jiran, sekarang sudah masuk sedikit demi sedikit ke negara kita. Dr Rozaimi Ramle














