fbpx
Anwar ketika hadir di Parlimen hari ini. Foto JABATAN PENERANGAN

Terlalu awal untuk tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan masih terlalu awal untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan rangkaian mafia korporat di negara ini.

Menurut beliau, kerajaan terlebih dahulu perlu meneliti hasil siasatan yang diketuai oleh Peguam Negara berhubung dakwaan tersebut yang dijangka siap minggu ini.

“Bagi kita agak `premature’ kerana siasatan diketuai oleh Peguam Negara itu akan siap dalam beberapa hari. Jadi kita tengok dulu, apakah kemunasabahan dan rasional untuk melanjutkan serta dalam bidang apa yang perlu diteliti.

“Jadi saya tidak menerima atau menolak. Biarlah kita ikut prosesnya. Pertama, mendapat dulu laporan daripada Peguam Negara, yang tidak akan tertangguh kerana beliau memaklumkan kepada saya laporan akan disediakan dalam tempoh satu hingga dua hari ini. Kemudian, kalau ada rasional untuk melanjutkan, itu kita akan lanjutkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan V. Ganabatirau (PH-Klang) mengenai cadangan penubuhan RCI susulan pendedahan Bloomberg berkaitan kewujudan rangkaian mafia korporat serta dakwaan penglibatan unsur penguatkuasaan dalam salah guna kuasa di Malaysia.

Terdahulu, Anwar berkata kerajaan boleh menerima maklumat daripada mana-mana sumber media, namun dalam isu tersebut beliau tidak mahu terlalu memberikan kredit kepada satu sumber semata-mata.

“Bagaimanapun, isu yang dibangkitkan itu, jika ada asas, tetap akan disiasat. Ia bukan sekadar tohmahan biasa. Kita tidak menyiasat ribuan tohmahan terhadap pimpinan atau mana-mana tokoh, melainkan ada asas yang kukuh. Siasatan diteruskan. Itu yang saya hendak jelaskan,” katanya.

Mengulas tindakan penguatkuasaan yang telah diambil dalam isu rasuah, beliau menegaskan bahawa operasi besar-besaran telah dijalankan melibatkan beberapa negeri termasuk dari Pelabuhan Klang ke Kuala Lumpur, membabitkan sindiket di Johor dan Pulau Pinang, serta sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, tindakan tegas tersebut hanya dilaksanakan secara menyeluruh sejak 2023, walhal sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi selama puluhan tahun.

“Sebab itu saya mulakan dengan sikap yang sangat positif, meraikan dan menyatakan penghargaan kepada badan-badan penguatkuasaan. Bila mereka ambil tindakan, ia dibuat atas komitmen dan dengan kesedaran tentang risiko besar apabila sindiket-sindiket besar ini dipecahkan,” katanya.

Mengenai cadangan memperketat kawalan dan pemantauan terhadap agensi penguatkuasaan, Anwar berkata kerajaan bersikap terbuka untuk meneliti sebarang saranan penambahbaikan.

“Saya terima ada cadangan supaya kawalan diperketatkan. Walaupun kawalan sedia ada sudah dilaksanakan, ada pandangan mengatakan ia boleh diperketat lagi. Kita ambil sikap terbuka supaya dapat mencari kaedah terbaik, termasuk dari segi pemantauan yang lebih teliti terhadap badan-badan penguatkuasaan yang terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN