fbpx
Sukri dan adiknya berpelukan sambil menangis ketika bertemu semula setelah terpisah selama 30 tahun di Manjung baru-baru ini. (Gambar kecil) hantaraN yang dibuat Sukri untuk mencari adiknya di Facebook.

Rindu 30 tahun di Tawau, terlerai di Manjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Amanat ar­wah ibu supaya mencari adik bongsu yang terpisah sejak tahun 1995 sentiasa menjadi pegangan Sukri Omar, 53.

Siapa sangka, selepas pelbagai ikhtiar dilakukan termasuk membuat hebahan di radio, te­levisyen dan terbaharu di media sosial, Sukri dan adiknya, Jaffry, 51, akhir­nya bertemu semula pada 10 Februari lalu setelah le­bih 30 tahun terpisah.

Menurut Sukri, tiada kata-kata yang dapat digambarkan dalam pertemuan penuh beremosi di Manjung, Perak baru-baru ini.

“Kami berpelukan, hanya Tu­han yang tahu perasaan itu. Kegembiraan saya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Selepas 30 tahun kami berpisah, pelukan pertama kami menjadi bukti bahawa doa seorang ibu dan keyakinan seorang abang tidak pernah sia-sia,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Cerita Sukri, sepanjang penca­rian bersama abang sulung dan abang kedua sebelum ini, mereka pernah menerima khabar angin bahawa Jaffry atau lebih dikenali sebagai Bidin sudah meninggal dunia.

“Abang-abang saya tidak pernah percaya khabar tersebut. Saya masih ingat pesanan emak pada tahun 2002 (sebelum me­ninggal dunia).

“Dia cakap ‘Sukri, kau cari adik walau apa cara sekali pun, jangan percaya cakap orang selagi kau tidak nampak jasad dan pusara dengan mata sendiri’. Amanat itu saya pegang sampai hari saya berjumpa semula dengan Bidin,” katanya.

Sukri berkata, adik bongsunya itu terpisah dengan keluarga selepas meninggalkan Tawau, Sabah untuk bekerja di Labuan.

“Keluarga izinkan sebab dia memang bekerja sebagai welder (pengimpal) kapal di Tawau sebelum itu. Ketika itu Bidin berusia 20 tahun. Selepas dua bulan berada di Labuan, dia masih menghubungi kakak ketiga kami sebelum hilang tanpa khabar,” ujarnya.

Katanya, kehilangan nombor telefon selepas telefon bimbit lelaki itu terjatuh ketika bekerja di laut menjadi antara punca mereka sekeluarga terputus hubu­ngan.

“Sejak itu, kami hanya mampu berdoa. Tiada masalah yang timbul, malah hubungan kami adik-beradik sangat rapat. Tiga tahun kemudian, kami dapat maklumat Bidin bekerja di Johor, namun usa­ha menjejakinya gagal,” katanya.

Anak ketujuh dari lapan beradik itu berkata, abang-abang­nya membuat hebahan melalui radio dan televisyen termasuk rancangan Jejak Kasih, namun semua usaha tersebut menemui jalan buntu.

Namun amanat ibunya, Norsia Jamad sebelum wanita itu me­ninggal dunia pada 2004 menjadi pegangan agar tidak berputus asa untuk mencari adiknya.

Pada November tahun lalu, Sukri sekali lagi memuat naik hantaran di Facebook untuk menjejaki adik bongsunya itu.

“Tiga hari kemudian saya menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. Bila saya bertanya siapa (pemang­gil), dia jawab, ‘inilah orang yang kau cari.’

“Saya bertanya sampai tiga kali. Dia cuma ulang ayat yang sama. Dua hari kemudian, seorang wanita hubungi saya dan memperkenalkan diri sebagai isteri Bidin, jadi saya minta gambar untuk mendapatkan kepastian.

“Selepas saya zoom gambar, perkataan pertama yang keluar dari mulut alhamdulillah. Dia memang adik yang saya cari selama 30 tahun,” katanya.

Sukri kemudian segera meng­hubungi adik-beradik lain termasuk yang berada di Sabah dengan membuat panggilan vi­deo bagi memaklumkan khabar gembira tersebut.

“Abang sulung kami kaku, manakala abang kedua hanya mengalirkan air mata kerana mereka tidak percaya insan yang dicari selama tiga dekad masih hidup,” kata­nya.

Sukri berkata, dia sanggup mengambil cuti untuk melawat Bidin di rumah lelaki itu dan tidak mampu menahan air mata saat pertama kali mereka berpelukan.

“Insya-Allah kami bercadang untuk berkumpul adik-beradik walaupun bukan semua (lapan beradik) disebabkan kekangan masa dan jarak. Kami cuba untuk meluang masa sempena kadatangan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN