SELAYANG – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian abangnya dalam kejadian Disember tahun lalu.
Tertuduh, M.Kubendran, 31, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Azlin Othman.
“Saya mengaku tidak bersalah,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian ke atas M.Kagendran, 36, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh yang mungkin menyebabkan kematian.
Kesalahan didakwa dilakukan di Selayang Baru, Batu Caves, di sini pukul 3.40 pagi pada 2 Disember 2025.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan ia adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Tarikh 4 Mei ini ditetapkan bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan pergaduhan adik-beradik bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dipercayai dibunuh adik kandungnya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir dilaporkan berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima laporan dibuat seorang wanita berusia 36 tahun memaklumkan suaminya bergaduh dengan adik lelakinya. – KOSMO! ONLINE














