fbpx
RAKYAT Indonesia beratur untuk mendapatkan tiket feri di TFAK, Pontian baru-baru ini.

Sehari 1,000 ‘mudik’ ke Indonesia sambut puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Budaya ‘mudik’ atau pulang berpuasa dan beraya di kampung halaman menjadi antara faktor tempahan feri ke Tanjung Balai, Kepulauan Karimun dan Selat Panjang, Riau di Indonesia meningkat sehingga mencecah 1,000 penum­pang sehari.

Seorang ejen jualan tiket Anjung Seri di Terminal Feri Antarabangsa Kukup (TFAK) berkata, selain itu tempahan juga bertambah untuk mereka masuk ke Malaysia melalui TFAK dengan 3,423 orang dari Tanjung Balai dan 888 penumpang dari Selat Panjang.

“Kita menyediakan lima trip perjalanan sehari bermula pukul 7.45 pagi dari Tanjung Balai ke Kukup dan pada pukul 8 pagi dari Kukup ke Tanjung Balai.

“Selain itu, laluan masuk dari Selat Panjang kekal sekali sehari pada pukul 9 dari Selat Panjang ke Kukup dan pukul 3 petang dari Kukup ke Selat Panjang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Seorang rakyat Indonesia, Kamarudin Baharudin, 35, berkata, dia pulang ke Tanjung Balai bagi menyambut puasa dan hari raya sebelum pulang semula ke Malaysia selepas raya.

“Saya yang mengambil upah bekerja di kebun kelapa di Tanjung Piai memilih untuk bersama keluarga serta dua anak selain bersama saudara dan penduduk kampung pada Ramadan dan Syawal ini.

“Memang ada keseronokan dapat berpuasa bersama anak dan isteri setelah sekian lama tinggal berjauhan kerana mencari pendapatan,” katanya ketika ditemui di TFAK, di sini semalam.

Menurut buruh bangunan, Hassan Talib, 40, pula, dia memilih untuk ber­puasa bersama tiga anaknya di Kampung Moro, Tanjung Balai setelah setahun terpisah.

“Di sini saya bekerja di Bandar Penawar, Kota Tinggi. Saya mahu pulang berhari raya dahulu dan akan kembali ke Malaysia jika ada tawaran kerja lagi selepas ini.

“Suasana berbuka puasa di kampung lebih meriah dan seronok, berbanding berbuka bersama rakan-rakan sekerja selama hampir setahun,” katanya.

Ujarnya, hasil pendapatan yang diterima ketika bekerja di Malaysia akan digunakan buat belanja menyambut puasa dan hari raya seperti pakaian, kuih-muih dan sebagainya.

Seorang penduduk tetap (PR) Malaysia yang tinggal di Kota Tinggi, Linda Masni, 33, membe­ritahu, dia pulang bersendirian ke Tanjung Balai untuk melihat bapanya yang tinggal seorang diri serta mengadakan kenduri bagi menyambut puasa.

Wanita yang bersuamikan lelaki Malaysia itu berkata, dia akan balik semula ke Malaysia selepas beberapa hari di sana.

“Saya balik sekejap ke Kampung Paya Cincin di Tanjung Ba­lai untuk bertemu ayah yang tinggal sendirian dan berpuasa bersamanya sehari dua,” ujarnya.

Sementara itu, Pelaksana Fungsi Penerangan, Sosial dan Budaya Konsulat Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru, Erry Kananga berkata, pihaknya sedang mengumpul data penuh mengenai pergerakan ‘mudik’ rakyat Indonesia di Johor.

“Laluan feri dari Terminal Feri Antarabangsa Stulang atau kini dikenali Terminal Feri Berjaya Waterfront ke Batam Center dan Bintan, Tanjung Pinang kekal menjadi pintu keluar masuk pa­ling sibuk bagi pergerakan warga kami di selatan Malaysia.

“Kalau dari Johor sahaja, yang paling sibuk memang laluan Stulang ke Batam. Setakat ini perge­rakan masih normal, sekitar 1,000 orang sehari.

“Dalam tempoh dua minggu terakhir ini, kira-kira 9,000 rak­yat Indonesia memasuki Batam melalui laluan itu, namun angka itu masih dianggap biasa,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Jelasnya, trend ‘mudik’ pada tahun lalu menunjukkan peningkatan, namun masih dalam tahap normal tanpa penambahan armada feri secara signifikan.

“Kalau sangat tinggi, biasanya operator feri akan tambah jadual tetapi setakat ini, termasuk tahun lalu, jadual berjalan seperti biasa,” katanya.

Menyentuh faktor pengukuhan nilai ringgit ketika ini, Erry berkata, budaya ‘mudik’ atau pulang ke kampung halaman setiap kali hari raya merupakan faktor utama kepulangan warga Indonesia, bukan semata-mata kerana kadar tukaran mata wang.

“Dengan nilai ringgit yang meningkat, memang secara logik lebih menguntungkan jika ditukar kepada rupiah. Tetapi budaya mudik itu sendiri sudah menjadi tradisi masyarakat Indonesia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN