Pahala puasa boleh ‘muflis’ dalam sekelip mata jika kita gagal mengawal setiap tingkah laku termasuk di media sosial.

Kurang ‘scroll’, kurang ‘dosa kering’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bulan Ramadan mengajar kita untuk bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga, malah perkara-perkara lain yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Selain berpuasa daripada makan dan minum, berpuasa mata, telinga, kata-kata dan hati adalah perkara-perkara yang sering dipandang ringan.

Ditambah lagi dengan zaman teknologi kecerdasan buatan (AI) dan media sosial, dalam tidak sedar, pahala puasa kita boleh ‘muflis’ dalam sekelip mata.

Tanpa perlu duduk bersembang dengan rakan untuk bergosip tentang hal jiran sebelah, kita juga mampu bercerita kisah tepi kain orang dengan hanya menggunakan jari dan menekan kekunci telefon bimbit.

Itu belum lagi ditambah dengan kata-kata nista atau berunsur fitnah yang kita tinggalkan di ruangan komen mengenai gosip rumah tangga artis.

Lebih buruk apabila ada yang mula bergaduh di ruangan komen atau saling mengeluarkan kata-kata kesat sehingga ada yang berkata ‘buka sahajalah puasa itu’.

Pakar Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad berkata, bulan Ramadan sepatutnya menjadi waktu terbaik untuk mengurangkan penggunaan media sosial agar kita dapat kembali kepada realiti yang menjadi kunci ketenangan.

“Mengurangkan waktu skrin (screen time) bukan sahaja mengurangkan risiko ‘dosa kering’, malah ia meningkatkan kualiti ketenangan mental kita.

“Ini kerana media sosial sering menjadi ruang berlakunya perbandingan sosial. Di bulan puasa, melihat kemewahan orang lain boleh mencetuskan rasa tidak bersyukur, dengki atau riak.

“Kadang-kala aktiviti seperti mengumpat, menyebarkan berita palsu dan berbalah di ruangan komen adalah lebih mudah berlaku di alam maya berbanding realiti,” katanya.

Justeru, Mohd. Suhaimi berkata, bulan puasa mengajar kita untuk meningkatkan amal ibadah dan merapatkan hubungan sosial dengan memecahkan tembok ketagihan algoritma media sosial melalui apa yang digelar ‘detoks’ digital.

“Contohnya, kita boleh menetapkan waktu spesifik untuk mengehadkan penggunaan media sosial dengan hanya 15 hingga 30 minit selepas berbuka atau sebelum bersahur.

“Jika boleh, cuba elakkan membuka telefon sejurus bangun tidur atau ketika berada di masjid dan nyahaktifkan bunyi semua notifikasi telefon bagi mengurangkan rangsangan dopamin yang mendorong kita menyemak peranti setiap kali terdengar bunyi ‘ping’.

“Kita juga boleh membersihkan feed dengan unfollow atau mute akaun yang sering mencetuskan emosi negatif, perbandingan sosial atau perdebatan sia-sia juga membantu menjaga kestabilan emosi dan fokus rohani,” jelas Mohd. Suhaimi.

Jika kita berjaya ‘detoks’ daripada media sosial sepanjang bulan Ramadan demi menjaga pahala puasa, pasti amalan itu dapat diteruskan pada bulan-bulan seterusnya.

Bagi mereka yang baru ingin memulakan langkah itu, amalkan pendekatan perubahan secara berperingkat agar ia lebih realistik dan berdaya tahan.

Jika tubuh mampu berpuasa daripada makanan dan minuman, maka minda juga wajar dilatih berpuasa daripada lambakan maklumat yang tidak bermanfaat demi memelihara kejernihan fikiran dan kesejahteraan emosi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN