MELAKA – Sebuah keluarga kini terpaksa menumpang hidup atas ihsan insan sekeliling demi memastikan kos rawatan anak mereka, Aisy Nur Dareesa Mohd. Sahril Azuan, 3, yang menghidap sindrom Alagille sejak lahir dapat dikumpulkan.
Penyakit genetik jarang berlaku itu menjejaskan fungsi hati apabila saluran hempedu tidak terbentuk dengan sempurna, menyebabkan hempedu terkumpul dan merosakkan organ berkenaan selain boleh membawa komplikasi serius kepada organ lain.
Lebih memilukan, ibunya, Anisah Ab. Rahim, 33, berkata, walaupun dia sanggup mendermakan sebahagian hatinya demi menyelamatkan anak bongsunya itu, kos pembedahan yang dianggarkan RM185,000 menjadi penghalang utama.
Katanya, prosedur pemindahan hati itu merupakan satu-satunya peluang untuk Aisy terus hidup, namun kemampuan kewangan keluarga amat terhad.
“Dengan bantuan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan kes penyakit hati, kutipan dana sebanyak RM185,000 telah dimulakan sejak dua minggu lalu.
“Jika dana mencukupi, kami akan ke China secepat mungkin dan saya sendiri bersedia menjadi penderma hati untuk Aisy,” katanya ketika ditemui di rumah kakaknya di sini, semalam.
Menurutnya, dia bekerja sebagai kakitangan GiatMara dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan, manakala suaminya bekerja sebagai pemandu bas di Shah Alam dan hanya pulang ke Melaka sebulan sekali.
Tambahnya, demi memastikan segala sumber kewangan dapat dikumpulkan untuk rawatan Aisy, mereka sekeluarga mengambil keputusan meninggalkan rumah sewa dan kini menumpang di rumah kakaknya.
“Keadaan kesihatan Aisy juga semakin merosot dan pakar menasihatkan supaya pembedahan tidak lagi ditangguhkan. Saya hanya mampu berdoa agar kutipan dana ini mencukupi secepat mungkin,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 05021020562854 atas nama Anisah Ab Rahim.














