fbpx
ACARA seperti ini dapat menjadi medium penyatuan komuniti dan memupuk semangat perpaduan.

Konvoi bot satukan komuniti Sungai Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBANYAK 160 bot menyertai program Konvoi Bot Aspirasi Pahang 1st yang berlangsung merentasi beberapa kawasan utama di sepanjang Sungai Pahang telah mencipta kelainan dalam usaha menyemarakkan semangat perpaduan, kenegerian dan kebersamaan dalam kalangan rakyat.

Acara anjuran Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) Pahang itu diadakan pada awal Februari lalu itu melibatkan penyertaan peserta dari empat kawasan Parlimen utama pesisir Sungai Pahang iaitu Kuala Krau, Temerloh, Bera dan Chenor (Maran).

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh merangkap Ahli Majlis Perbandaran Temerloh, Adam Ahmad berkata, kesemua peserta yang terlibat merupakan warga setempat memiliki bot sendiri dan aktif dalam aktiviti sukan air.

“Peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang yang antaranya nelayan sungai, penggiat sukan air termasuk perlumbaan bot laju dan individu yang menjadikan aktiviti air sebagai hobi,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Menurut Adam, kepelbagaian latar belakang peserta secara tidak langsung mencerminkan peranan Sungai Pahang sebagai nadi kehidupan masyarakat sejak dahulu hingga kini.

Bukan sahaja dijadikan sebagai sumber ekonomi warga setempat dalam mencari rezeki, malah sebagai medium penyatuan komuniti, sekali gus saling mengeratkan hubungan tanpa mengira usia.

“Program ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Temerloh, Majlis Perbandaran Temerloh, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan

Perikanan serta beberapa jabatan kerajaan lain di daerah Bera dan Maran.

ACARA seperti ini dapat menjadi medium penyatuan komuniti dan memupuk semangat perpaduan.

“Konvoi tersebut bermula dari Kuala Krau, melalui Temerloh dan Bera sebelum berakhir di Chenor, Maran. Sepanjang perjalanan, peserta menyusuri beberapa penempatan di tebing Sungai Pahang sambil menyampaikan mesej perpaduan, kebersamaan dan kecintaan kepada negeri Pahang,” ujarnya.

Adam berkata, aktiviti konvoi bot itu bukan sekadar sebuah acara simbolik komuniti, sebaliknya membawa makna besar dalam mengingatkan kembali peranan Sungai Pahang sebagai laluan perhubungan dan penyatuan masyarakat suatu ketika dahulu.

“Melalui aktiviti berasaskan komuniti seperti ini, kita dapat memupuk semangat perpaduan, memperkukuh identiti rakyat Pahang dan menyemarakkan rasa bangga terhadap negeri sendiri.

“Bahkan Pahang 1st itu juga bermaksud meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap usaha dan perjuangan,” katanya.

Konvoi Bot Aspirasi Pahang 1st juga merupakan inisiatif MKN Pahang yang dinaungi oleh Pengerusinya, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga Ketua Penerangan UMNO Pahang.

Tambah beliau, program seumpama itu wajar diteruskan kerana mampu mendekatkan kepimpinan dengan rakyat di peringkat akar umbi selain menyampaikan mesej kenegaraan dalam suasana santai tetapi berimpak tinggi.

“Konvoi Bot Aspirasi Pahang 1st berjaya menghimpunkan komuniti pesisir sungai dalam satu platform yang melambangkan semangat penyatuan, perjuangan dan kecintaan terhadap negeri Pahang.

“Program berkenaan turut dirakam sebagai bahan dokumentasi bagi tujuan promosi Gagasan Aspirasi Pahang 1st, sekali gus memperkukuh semangat kenegerian,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN